Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peguam ketengah biskut bertema kenegaraan

    KUANTAN – Sepanjang bulan Kebangsaan Malaysia yang lalu, pelbagai cara kreatif dilakukan bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara dan seorang pengusaha bakeri, Arni Azreen Che Arifin, 33, memilih untuk mengajak orang ramai menterjemahkannya menggunakan dekorasi biskut mentega.

    Menerusi perusahaannya yang dibuat di rumah secara kecil-kecilan dan dipasarkan secara dalam talian di Instagram @cookieandcelebration, wanita itu mengetengahkan biskut ‘Edisi Merdeka’ – paint your own cookie yang bersifat interaktif dengan membolehkan pelanggan turut serta mendekorasikannya.

    Menariknya, Edisi Merdeka itu yang bermula pada tahun lepas hanya dengan motif Jalur Gemilang, kini diperluaskan variasinya setelah mendapat sambutan memberangsangkan antaranya, bunga raya, figura bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mercu tanda Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan wau tradisional.

    “Kebiasaannya ketika sambutan merdeka, aktiviti mewarna Jalur Gemilang dilakukan di atas sekeping kertas, kain dan sebagainya. Namun, kerana ingin jadikan ia istimewa, saya hasilkan biskut bersama fondan aising putih yang boleh diwarnakan sendiri menggunakan pewarna makanan yang disediakan kepada pelanggan.

    “Menerusi aktiviti ini, kanak-kanak secara tidak langsung dapat mempelajari susunan warna bendera negara yang betul dan maksudnya, selain mengetahui imej Jalur Gemilang atau apa-apa sahaja motif bertemakan kenegaraan bersama ibu bapa mereka,” katanya kepada Bernama.

    Arni Azreen Che Arifin, 33, bergambar dengan biskut ‘Edisi Merdeka – paint your own cookie’ yang dihasilkannya. – Bernama
    Biskut Edisi Merdeka membolehkan pelanggan turut serta mendekorasikannya dengan mewarnakan biskut tersebut. – Bernama

    Mungkin akan ada yang anggap wanita itu seorang usahawan sepenuh masa, namun apa yang menariknya, anak kelahiran negeri Tok Gajah itu sebenarnya seorang peguam di ibu negara, yang tidak menjadikan kesibukannya turun naik mahkamah sebagai halangan untuk turut sama menyemarakkan Hari Kebangsaan Malaysia.

    Baginya, Jiwa Merdeka yang merupakan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) itu bersifat universal dan setiap warga ada cara tersendiri menzahirkannya dan kerana itu, pendekatannya menerusi Edisi Merdeka – paint your own cookie yang bersifat interaktif dilihat dapat menarik minat anak muda.

    “Tempahan sejak Ogos sehingga September memang fokus Edisi Merdeka dan tak menang tangan dibuatnya. Setiap pelanggan yang beli Edisi Merdeka, akan dibekalkan sebatang berus untuk mewarna dan palet warna diperbuat daripada dakwat yang boleh dimakan.

    “Sebenarnya, aktiviti interaktif ini akan menarik kanak-kanak meminati sejarah, kerana sifat mereka yang ingin tahu dan ibu bapa atau orang dewasa boleh menganggapnya sebagai ‘ulang kaji’, apabila mungkin ada yang perlu google untuk cari fakta berkenaannya bila ditanya kanak-kanak,” katanya.

    Tidak berseorangan, perniagaan yang diusahakannya sejak 2022 itu dibantu suaminya yang merupakan seorang usahawan Muhammad Hafiq Norzan, 32, dan menariknya, mereka mempunyai cara tersendiri menghidupkan suasana ketika menyiapkan tempahan dengan memilih mendengar lagu bertemakan Hari Kebangsaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda