Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Peguam Najib persoal hakim perbicaraan kes SRC International

    PUTRAJAYA, 15 OGOS – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat bahaya jelas terhadap keadilan, dalam merujuk kepada hakim yang mendengar perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, yakni Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa sebagai pekerja jangka panjang Maybank, tingkah laku hakim Mahkamah Tinggi (Mohd Nazlan) sebelum ini, juga boleh memberi alasan kepada orang yang munasabah untuk mempercayai bahawa dia tidak boleh bertindak dengan fikiran yang objektif.

    Hisyam berhujah demikian dalam usul Najib untuk mengemukakan bukti baharu kes SRC International dalam usahanya untuk mendapatkan perbicaraan semula, di hadapan panel lima anggota yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Bukti tambahan yang ingin dikemukakan oleh Najib adalah berkaitan dengan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan (Mohd Nazlan) pada tahun 2006, ialah peguam am dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan muktamad untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang seluruh kumpulan itu.

    Dalam mengetengahkan isu konflik kepentingan yang serius, pihak pembelaan berhujah bahawa pihak berkuasa penyiasat telah menyembunyikan atau gagal untuk mendedahkan bahan yang akan membolehkan Najib membangkitkan bantahan berdasarkan konflik kepentingan hakim bicara pada peringkat awal prosiding.

    Hisyam juga berhujah bahawa pendengaran rayuan sepatutnya ditangguhkan sehingga satu tempoh masa, sehingga siasatan terhadap peranan Hakim Mohd Nazlan selesai.

    Sekiranya Najib gagal dalam permohonan ini, Mahkamah Persekutuan dijangka meneruskan pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhi oleh hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini Hakim Mohd Nazlan pada 28 Julai 2020. – Bernama

    Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan perkarangan Istana Kehakiman selepas menghadiri perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...