Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peguam negara hadiri Interface Menteri Keadilan ASEAN-G7

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa, baru-baru ini, telah menghadiri Interface Menteri Keadilan ASEAN-G7 (Interface) di Tokyo, Jepun di mana delegasi Brunei terdiri daripada para pegawai dari Pejabat Peguam Negara.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, interface yang dianjurkan di bawah kepresidenan G7 Jepun ketika ini, dan sempena Mesyuarat Khas Menteri-menteri Keadilan ASEAN-Jepun (AJSMJ) itu merupakan mesyuarat peringkat menteri pertama yang diadakan antara ASEAN dan G7 yang menghimpunkan menteri keadilan dan peguam negara anggota ASEAN dan G7 dengan tujuan untuk memupuk kerjasama dalam bidang undang-undang dan keadilan.

    Interface memfokuskan tema Mengukuhkan Kerjasama Bersama Antara ASEAN dan G7 dalam Bidang Undang-undang dan Keadilan, dan menyediakan platform untuk menteri keadilan dan peguam negara yang hadir bagi bertemu secara bersemuka.

    Selain itu perbincangan awal interface juga bertujuan untuk membina bersama bidang yang berkaitan dengan hubungan kerja dan berfungsi sebagai jambatan untuk dialog dan kerjasama masa depan.

    Semasa menyampaikan kenyataannya, Yang Berhormat Peguam Negara mengalu-alukan peluang untuk meningkatkan dialog dengan G7 kerana ini sejajar dengan komitmen ASEAN dan Brunei Darussalam bagi bekerjasama dengan rakan kongsi luar untuk perkongsian pengetahuan dan pengalaman bagi mengekalkan rentak dengan isu undang-undang yang semakin kompleks terutamanya dalam bidang jenayah rentas negara.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan Pejabat Peguam Negara
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda