Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegula mara ke separuh akhir WTA Final

    CANCUN, 3 NOV – Jessica Pegula dari Amerika Syarikat (AS) berjaya mara ke separuh akhir WTA Final musim ini di Cancun hari ini setelah menewaskan Maria Sakkari dengan keputusan 6-3, 6-2 untuk melengkapkan rekod tanpa kalah pada peringkat kumpulan.

    Pegula, yang merupakan pemain tertua dalam kejohanan ini pada usia 29 tahun, telah mengesahkan tempatnya pada perlawanan separuh akhir esok, manakala Sakkari sudah tidak mempunyai peluang lagi sebelum perlawanan di gelanggang keras luar Mexico.

    Perlawanan antara nombor satu dunia, Aryna Sabalenka dan pemain ranking keempat, Elena Rybakina, pula tergendala disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan dan terpaksa dihentikan pada malam itu dengan Sabalenka mendahului 6-2, 3-5.

    Rybakina akan memulakan servis untuk menyamakan kedudukan apabila perlawanan disambung semula hari ini.

    Pegula, yang tidak menang tahun lalu dalam penampilan sulungnya di WTA Final, menguasai awal permainan dengan mendahului 4-1 pada set pembukaan untuk meraih kemenangan dominan meskipun menghadapi kesukaran dalam keadaan cuaca yang berangin.

    Dia memanfaatkan sepenuhnya 35 kesilapan yang dilakukan oleh pemain Greece Sakkari, termasuk lapan kesilapan berganda, dengan Pegula mara ke pusingan empat terakhir tanpa kehilangan satu set.

    “Ia sangat sukar untuk bermain dalam keadaan ini,” katanya kepada Saluran Tenis. “Awda cuba melakukan yang terbaik dan sebaik sahaja awda mendapat momentum, awda masih berasa seperti awda boleh kehilangannya.

    “Jika awda hanya berhenti menggerakkan kaki awda untuk satu saat, awda akan mendapat satu pukulan buruk. Jadi, awda perlu bermain dengan penuh fokus.

    “Ia adalah sangat sukar di luar sana hari ini,” tambah Pegula, pemain Amerika pertama yang mara ke empat final sejak Sloane Stephens mara ke final di Singapura pada 2018. – AFP

    Aksi Pegula semasa perlawanan perseorangan wanita pada kejohanan tenis WTA Finals di Cancun, Mexico, baru-baru ini. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda