Tuesday, February 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegula teruskan kemaraan

    WASHINGTON, 4 OGOS – Pemain pilihan utama, Jessica Pegula kelmarin mara ke suku akhir WTA yang kelapan tahun ini, namun pertembungan lelaki yang dinantikan antara Taylor Fritz dan Andy Murray ditangguhkan kerana hujan menyebabkan sesi malam kejohanan tenis gelanggang keras di Washington terbatal.

    Pegula, yang menduduki tempat keempat dunia dan juara 2019 di Washington, menewaskan pemain bertuah, Peyton Stearns 6-3, 6-4 untuk menetapkan pertemuan suku akhir yang menarik dengan pemain Ukraine, Elina Svitolina pada hari ini yang dijangkakan padat.

    Marta Kostyuk dari Ukraine turut mara, menumbangkan pemain pilihan kedua wanita, Carolina Garcia dari Perancis 6-2, 6-3.

    Pilihan utama lelaki, Fritz dan juara Grand Slam tiga kali, Murray pada asalnya dijadualkan menamatkan aksi kelmarin dalam perebutan tempat suku akhir ATP.

    Namun, perlawanan mereka ditangguhkan sehari, begitu juga perlawanan antara kegemaran tempatan, Frances Tiafoe dan remaja China, Shang Juncheng.

    Aksi Pegula semasa menentang Peyton Stearns pada kejohanan tenis Terbuka DC di Washington baru-baru ini. – AP

    Selepas beberapa jam hujan, Tiafoe dan Shang memasuki gelanggang untuk apa yang sepatutnya menjadi perlawanan pembukaan sesi malam.

    Mereka telah membuat undian tetapi tidak lama kemudian dipanggil keluar semula apabila hujan kembali turun.

    Sebelum hujan melanda, pilihan kelima Grigor Dimitrov, Ugo Humbert dari Perancis dan JJ Wolf menempah slot suku akhir.

    Dimitrov dari Bulgaria menewaskan Emil Ruusuvuori 6-4, 6-3, Humbert menewaskan Yosuke Watanuki dari Jepun 6-0, 6-2 dan Wolf menewaskan rakan senegaranya, Michael Mmoh 6-4, 7-6 (7/5).

    Dimitrov akan menentang Humbert untuk ke separuh akhir manakala Wolf menanti sama ada Tallon Griekspoor atau Gael Monfils, yang telah memenangi dua set pertama dan bermain satu perlawanan dari set ketiga sebelum hujan menghentikan permainan.

    Jordan Thompson dan Christopher Eubanks juga akan kembali untuk menamatkan perlawanan pusingan 16 mereka yang terganggu, pemenang akan menentang sama ada Fritz atau Murray. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda