Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Dengan kepentingan teknologi dan kesalinghubungan untuk kemajuan, syarikat Connex mencatatkan sebuah mercu tanda dalam perjalanannya menjadi pemimpin global dalam penyelesaian IT apabila merasmikan pejabat Connex di Negara Brunei Darussalam, hari ini.
Perasmian pejabat berkenaan yang terletak di Kampung Kiulap disempurnakan bersama oleh Pengarah Connex Information Technologies Sdn Bhd (Brunei), Vincent Pao; Ketua Pegawai Operasi dan Pelanggan, Connex Information Technologies Sdn Bhd (Sri Lanka), Dilshan De Silva; Ketua Pegawai Hasil, Connex Information Technologies Sdn Bhd (Sri Lanka), Eranga Wickramasinghe; Pengawal Kewangan Kumpulan Concepts, Alice Chan dan wakil Kumpulan Concepts, Ardoni Siregar.
Menurut Dilshan, sejak penubuhan Connex, syarikat berkenaan kekal teguh dalam misinya untuk menyampaikan nilai serta membantu mencapai kejayaan rakan-rakan kongsi globalnya.
Dengan pembukaan pejabat baharu di negara ini, tambahnya, ia merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam komitmen mereka kepada perkembangan dan inovasi.
Sementara itu, Eranga pula menyatakan Connex yang ditubuhkan pada 2014 telah berkembang secara konsisten di mana ia telah menjadi salah satu peneraju pengedar global penyelesaian teknologi.
Dengan portfolio produk, perkhidmatan dan teknologi generasi akan datang yang komprehensif dengan latihan dan kepakaran khusus, tambahnya, Connex memperkasa rakan-rakan kongsinya untuk menyampaikan produk yang terbaik ke pasaran.
Beliau turut menerangkan dengan lebih 200 kakitangan, lebih 70 vendor global dan lebih 1,500 saluran rakan kongsi di 14 buah negara, Connex berada di kedudukan yang baik untuk meneruskan misinya untuk memacu inovasi, sekuriti siber dan pertumbuhan menerusi kerjasama strategik dalam landskap digital yang pesat berubah.
Mengulas mengenai dengan pembukaan pejabat Connex berkenaan, Vincent Pao berkata sebagai rakan kongsi tempatan, beliau yakin dengan kepakaran Connex terutamanya dalam bidang data dan sekuriti.
Beliau yakin bahawa mereka akan dapat bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan IT tempatan bersama-sama mengembangkan perniagaan di masa terdekat serta menjana lebih banyak peluang pekerjaan bagi warga tempatan dalam industri IT.