JAKARTA, 18 OGOS – Pejabat Kesihatan Jakarta mengesahkan sekurang-kurangnya 11 kes cacar monyet (mpox) di beberapa daerah kecil di wilayah itu setakat tahun ini.
Pemangku Ketua Bahagian Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Dr Maryati Kasiman mendedahkan bahawa kes terbaharu dilaporkan pada Jun.
“Sembilan daripada kes itu membabitkan penduduk Jakarta manakala dua lagi dari luar wilayah ini. Kes terbaharu dikenal pasti pada Jun,” kata Dr Maryati kepada portal berita detikcom.
Kes yang dilaporkan merangkumi lapan mukim iaitu Pasar Minggu, Ciracas, Grogol Petamburan, Jatinegara, Kebon Jeruk, Matraman, Tanah Abang dan Tanjung Priok.
Kesemua individu yang terjejas ber-umur antara 21 hingga 50 tahun dengan kes pertama dilaporkan pada 22 Januari melibatkan seorang wanita dijangkiti HIV dan jangkitan penyakit kelamin, diikuti oleh kes seterusnya pada 7 Februari.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia baru-baru ini mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun, menekankan
kebimbangan global yang berterusan terhadap penyakit itu. – Bernama
