Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pejabat luar negara USAID diarah tutup

    MOSCOW, 5 FEB – Semua pejabat luar negara Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) diarahkan ditutup, dengan kakitangannya perlu kembali ke AS selewat-lewatnya pada Jumaat, menurut laporan CBS News yang dipetik Sputnik/RIA Novosti.

    Timbalan pentadbir baharu agensi itu, Pete Marocco dalam pertemuan dengan pegawai Jabatan Negara AS pada Selasa mengarahkan setiap kakitangan USAID di seluruh dunia dipanggil balik menjelang Jumaat, menurut laporan.

    Marocco dilaporkan berkata bahawa sekiranya Jabatan Negara enggan berbuat demikian, tentera AS akan menguruskan pemindahan mereka.

    Pada Isnin, Presiden AS, Donald Trump melantik Setiausaha Negara Marco Rubio sebagai pemangku ketua USAID.

    Rubio kemudian memaklumkan kepada Kongres bahawa satu semakan terhadap aktiviti bantuan luar USAID sedang dijalankan dengan kemungkinan penyusunan semula.

    Sementara itu, jutawan AS Elon Musk yang mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), mendakwa Trump telah bersetuju untuk menutup USAID, dengan menyifatkan agensi itu sebagai ‘organisasi jenayah yang perlu dihentikan’. – Bernama

    Papan tanda agensi kemanusiaan kerajaan AS, USAID, kelihatan di sebuah kontena kargo, dengan orang ramai sedang menyusun barang yang boleh digunakan semula untuk dijual ke kedai barang terpakai di Manila pada 4 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda