Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pejabat Peguam Negara berikrar perbaiki perkhidmatan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Pejabat Peguam Negara terus berikrar untuk memperbaiki perkhidmatannya di setiap bahagian dan penerbitan dua buah buku panduan iaitu Buku Panduan Kontrak Kerajaan (Government Contracts Manual) dan Buku Panduan Kerja Bahagian Sivil (Civil Division Work Manual), merupakan salah satu usaha berterusan meningkatkan mutu kualiti pemberian nasihat dan perwakilan undang-undang kepada kerajaan.

    Penerbitan Buku Panduan Kontrak Kerajaan merupakan salah satu usaha berterusan untuk meningkat kesedaran dalam kalangan agensi-agensi kerajaan iaitu kementerian, jabatan kerajaan dan badan berkanun mengenai dengan pengurusan kontrak-kontrak kerajaan.

    “Matlamat utama buku panduan berkenaan ialah untuk memberikan kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun garis panduan padat yang menyediakan pandangan berguna kepada prinsip-prinsip mentadbir kontrak di Brunei Darussalam untuk memberikan bantuan kepada kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun supaya akan membuat keputusan yang bersesuaian serta pelbagai isu yang berkaitan dengan projek-projek dan perolehan mereka.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku-Buku Panduan Bahagian Sivil, Pejabat Peguam Negara dan Bengkel Contractual Risks Assessment yang berlangsung di Dewan Jubli Emas, Bangunan Undang-Undang dan Mahkamah-Mahkamah, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, hari ini.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah Peguam Cara Negara, Dato Paduka Haji Muhammad Juanda bin Haji A. Rashid serta pegawai-pegawai di Pejabat Peguam Negara.

    Beliau berkata bahawa amat penting bagi projek-projek atau perolehan kerajaan yang menggunakan dana kerajaan dan bagi kegunaan awam untuk termaktub dalam sebuah kontrak.

    Beliau turut berkata, menjadi harapan Pejabat Peguam Negara supaya semua kementerian, jabatan kerajaan dan badan berkanun yang berkenaan untuk menggunakan buku panduan berkenaan sebagai sumber yang berguna serta menyokong usaha dalam sama-sama untuk meningkatkan lagi produktiviti serta keberkesanan perkhidmatan awam.

    Buku panduan itu juga menyarankan bahawa agensi-agensi yang berkaitan menyediakan maklumat-maklumat yang berkenaan untuk rujukan Pejabat Peguam Negara sebelum menghadapkan permohonan bagi penggubalan atau penelitian sesebuah kontrak.

    Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati bergambar ramai dengan para peserta bengkel selama dua hari itu.
    Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati bergambar ramai dengan para peserta bengkel selama dua hari itu.
    Dua buah buku panduan Bahagian Sivil yang dilancarkan.
    Dua buah buku panduan Bahagian Sivil yang dilancarkan.

    Ia juga memberikan panduan mengenai proses Invitation to Tender dan menerangkan boiler plate provision yang secara lazim ada dalam sesebuah kontrak kerajaan.

    Sementara itu, mengulas mengenai dengan Buku Panduan Kerja Bahagian Sivil, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati berkata, penerbitannya adalah untuk memberikan panduan kepada pegawai dan kakitangan Bahagian Sivil dalam menjalankan tugas-tugas mereka di Pejabat Peguam Negara.

    Buku panduan berkenaan mengandungi proses-proses aliran kerja dan panduan bagi penggubalan kontrak dan tindakan undang-undang sivil serta adalah diharapkan supaya ia dapat memberikan penerangan yang jelas kepada pegawai dan kakitangan Bahagian Sivil yang baru dan sedia ada serta membolehkan mereka untuk menjalankan tugas dengan lebih berkeyakinan.

    Majlis turut menyaksikan pelancaran Bengkel Contractual Risks Assessment yang diadakan selama dua hari, hari ini dan esok, yang dikendalikan oleh sebuah firma guaman dari Australia, Webb Henderson.

    Bengkel itu dihasratkan untuk meningkatkan kefahaman mengenai persediaan bagi penggubalan kontrak dengan menangani pelbagai risiko dan cabaran dalam kontrak kerajaan.

    Ia adalah selaras dengan visi Pejabat Peguam Negara iaitu untuk memberikan perkhidmatan undang-undang yang berkualiti tinggi kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Ia juga menepati salah satu misi Bahagian Sivil untuk memastikan kontrak kerajaan digubal dengan baik, jelas dan menyatakan niat kerajaan dengan mematuhi undang-undang, peraturan dan dasar yang berkaitan dan sedia ada serta melindungi kepentingan kerajaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda