WASHINGTON, 1 MAC – Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (AS) akan membeli 9,250 buah van elektrik Ford Motor Co dan 14,000 stesen mengecas sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengalih armadanya kepada kenderaan elektrik.
Perkhidmatan itu juga akan membeli 9,250 van pembakaran daripada Fiat Chrysler di Amerika Utara, kini sebahagian daripada Stellantis. Kenderaan Fiat Chrysler dan Ford akan menelan kos AS$1 bilion.
Kenderaan elektrik tersebut akan memenuhi keperluan penting, kata Perkhidmatan Pos dalam satu kenyataan semalam.
Syarikat Ford yang berpangkalan di Dearborn, Michigan akan menghantar van E-Transit pada Disember ini sementara Fiat Chrysler akan menghantar kenderaannya pada November.
Manakala stesen mengecas akan didirikan di beberapa kemudahan Perkhidmatan Pos termasuk pusat pengasingan dan penghantaran, bermula pada suku ketiga tahun ini.
Pejabat pos itu berkata ia akan membelanjakan kira-kira AS$10 bilion untuk beralih kepada kenderaan elektrik, termasuk mendirikan infrastruktur mengecas moden di ratusan kemudahan pos di seluruh negara dan membeli sekurang-kurangnya 66,000 trak penghantaran elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang. – AP
