Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pejabat pos bersejarah Filipina Musnah terbakar

    MANILA, 22 MEI – Kebakaran besar memusnahkan bangunan pejabat pos bersejarah di ibu negara Filipina, kata pegawai hari ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Seorang anggota bomba cedera dalam kebakaran yang bermula pada 11 malam (1500 GMT) kelmarin di ruang bawah tanah bangunan Pejabat Pos Besar Manila, menurut Biro Perlindungan Kebakaran.

    Kebakaran berjaya dipadamkan lapan jam kemudian pada 7:22 pagi hari ini, tambah biro itu.

    Punca kebakaran belum diketahui, tetapi pegawai berkata banyak bahan kertas disimpan di ruangan bawah tanah selain beberapa struktur bangunan diperbuat daripada kayu.

    Luis Carlos, ketua pos yang juga ketua pegawai eksekutif Perbadanan Pos Filipina (Philpost), berkata api merebak dengan cepat kerana bangunan ikonik itu tidak dilengkapi dengan sistem perenjis air.

    “Seluruh perpustakaan setem, termasuk koleksi setem peringatan dan antik negara, hangus,” kata Carlos.

    “Keseluruhan struktur bangunan penting kerana ia merupakan tapak warisan. Kami perlu mencari jurutera struktur untuk memeriksa integriti bangunan itu.”

    Bangunan Pejabat Pos Besar Manila yang dibina pada tahun 1926 rosak teruk semasa Perang Dunia II dan dibina semula pada 1946.

    Bahagian hadapan bangunan popular itu mempunyai 14 tiang besar berbaris di atas anak tangga yang menghala ke lobi. Setiap hujung bangunan segi empat tepat itu mempunyai dewan separuh bulatan. – Bernama

    Kepulan asap dilihat keluar dari Pejabat Pos Pusat Manila yang masih membara di Manila, Filipina, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda