Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) ini, Agensi Hartanah Valor Sdn Bhd telah mengadakan pejabat terbuka bagi ahli-ahli korporat, rakan kongsi dan sahabat handai di Restoran i-Lotus, Rimba.
Kedatangan para jemputan ke majlis berkenaan telah dialu-alukan oleh Pengarah Urusan Agensi Hartanah Valor Sdn Bhd, Irine Hii.
Sambutan itu bukan sahaja menyajikan pelbagai jenis hidangan istimewa bahkan diserikan dengan lagu-lagu TBC.
Turut hadir memeriahkan pejabat terbuka syarikat berkenaan ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan isteri.
Irine Hii ketika ditemu bual berkata, majlis berkenaan bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara kakitangan, rakan kongsi dan pelanggan yang setia sehingga kini.
Beliau turut mengongsikan bahawa syarikat berkenaan telah menunjukkan perkembangan yang sangat bagus dengan mengutamakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
Menurut beliau, sejak awal Januari 2020, peningkatan jualan hartanah dan sewa menunjuk peningkatan yang sangat bagus.
Walaupun dunia sekarang sedang menghadapi ancaman wabak nCoV, ia tidak sama sekali memberi kesan kepada perniagaan kerana Agensi Hartanah Valor Sdn Bhd hanya fokus dengan perkembangan di dalam negara sahaja.
Beliau berharap perkembangan dan peningkatan yang baik ini akan dapat diteruskan pada bulan-bulan akan datang.
