Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pejabat Urusan Jemaah Haji Brunei terima Anugerah Perak

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam telah mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya dianugerahkan Anugerah Perak bagi Anugerah Tertinggi Labaytum oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di Majlis Penutup Musim Haji 1446H/2025M yang berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di Mekah Al-Mukarramah, pada 8 Jun lalu.

    Hadir bagi menerima anugerah tersebut ialah Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.

    Anugerah Labaytum merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menilai dan menghargai kecemerlangan pengurusan jemaah haji oleh negara-negara Islam. Ia diklasifikasikan kepada empat peringkat iaitu Berlian, Emas, Perak dan Gangsa.

    Penganugerahan itu mengambil kira pelbagai aspek utama pengurusan haji termasuk perancangan menyeluruh, penjagaan kesihatan jemaah, bimbingan ibadah, penyediaan penginapan, pengangkutan, urusan visa serta pematuhan kepada garis masa dan ketetapan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

    Pada majlis itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut menyerahkan dokumen awal pengurusan haji bagi musim 1447H/ 2026M kepada semua delegasi negara.

    Dokumen tersebut mengandungi senarai urusan serta garis masa pelaksanaan yang perlu dipatuhi menjelang musim haji.

    Pengiran Haji Haslin semasa menerima anugerah daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda