LUSAKA, 4 MAC – Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) mengumumkan kelmarin bahawa ia menutup pejabatnya di Afrika Selatan berikutan kekangan dana ekoran keputusan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump minggu lalu untuk menamatkan 90 peratus kontrak bantuan luar USAID.
WFP kini akan mengendalikan operasi bagi Afrika Timur dan Afrika Selatan dari Nairobi, kata jurucakap serantau yang berpangkalan di Johannesburg, Tomson Phiri.
WFP bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah dana yang terjejas akibat pemotongan bantuan daripada Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), namun hampir separuh daripada belanjawan tahunannya bergantung kepada AS, lapor Anadolu Ajansi.
Phiri menegaskan bahawa penutupan pejabat itu tidak akan menjejaskan operasi di negara-negara tertentu.
Penutupan itu berlaku pada ketika beberapa negara di rantau berkenaan sedang bergelut dengan kesan kemarau El Nino, dengan Zambia, Malawi, Lesotho, Zimbabwe dan Namibia mengisytiharkan bencana kemarau di peringkat nasional.
“Prospek pembiayaan semakin ketat,” kata Phiri mengenai pemotongan bantuan AS, dengan negara itu menjadi penyumbang tunggal terbesar kepada WFP, membekalkan hampir separuh daripada jumlah sumbangan yang diterima setiap tahun.
WFP juga menyediakan bantuan makanan dan wang tunai kepada mereka yang terjejas akibat konflik, kebuluran dan krisis kemanusiaan lain. – Bernama/Anadolu
