SYDNEY, 29 JUN – Polis Australia hari ini melahirkan kebimbangan terhadap nasib seorang pejalan kaki muda Belgium yang hilang di kawasan terpencil barat laut Tasmania, menggambarkan keadaan sejuk di kawasan itu sebagai ‘sukar untuknya bertahan hidup.’
Celine Cremer kali terakhir dilihat pada 17 Jun, di sebuah bandar kecil di barat laut yang indah di pulau itu.
Kereta Honda CRV putih miliknya ditemui diletakkan di laluan hutan hujan Tarkine baru-baru ini tetapi dipercayai telah berada di sana selama sekurang-kurangnya sembilan hari.
Polis mengatakan bahawa dia meninggalkan kereta yang ‘dilengkapi untuk perjalanan ringan.’
Polis dan keluarga semakin bimbang, dengan operasi pencarian yang melibatkan pasukan darat, dron dan helikopter dihambat oleh cuaca buruk.
Suhu waktu malam mencecah paras beku minggu ini, dengan hujan dan salji menyelubungi wilayah itu.
“Keadaan cuaca mencabar sejak beberapa hari lalu,” kata Inspektor Anthea Maingay, hari ini.
“Malangnya, kami telah menerima nasihat pakar perubatan yang menunjukkan keadaan di mana Celine terdedah kepada cuaca mencabar itu membuatkan dia dijangka tidak dapat bertahan hidup.
“Usaha pencarian diteruskan tetapi kami sedang berhadapan dengan kawasan hutan yang sangat padat dan keadaan cuaca yang mencabar dijangka bertambah buruk dalam beberapa hari mendatang,” tambahnya. – AFP
