DUBAI, 3 JAN – Pejuang Huthi yang disokong oleh Iran di Yaman kelmarin melepaskan dua peluru berpandu ke arah kapal dagang yang dalam perjalanan di Laut Merah berhampiran Selat Bab el-Mandeb yang strategik, kata tentera Amerika Syarikat (AS) susulan laporan agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO.
Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom pada mulanya melaporkan letupan berhampiran kapal kargo yang belayar antara pantai Eritrea dan Yaman.
“Dilaporkan tiada kerosakan pada kapal dan kru selamat pada masa ini,” kata agensi itu, yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Britain, dalam satu mesej ringkas.
Pusat Tentera AS (CENTCOM) kemudian berkata bahawa pejuang Huthi telah melepaskan dua peluru berpandu balistik anti-kapal ke selatan Laut Merah, di mana terdapat beberapa kapal komersial sedang melalui laluan tersebut tetapi ‘tiada kapal yang melaporkan sebarang kerosakan’.
“Tindakan menyalahi undang-undang ini membahayakan nyawa berpuluh-puluh pelaut yang tidak bersalah dan terus mengganggu aliran perdagangan antarabangsa yang bebas,” kata CENTCOM di X, sambil menambah bahawa ia merupakan serangan kali ke-24 terhadap kapal dagang di kawasan itu sejak 19 November. – AFP
