Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pejuang veteran tuntut keadilan mangsa Agent Orange

    HANOI – Sebagai wanita muda, Tran To Nga adalah wartawan perang, banduan dan aktivis.

    Kini, pada usia 81 tahun, beliau meneruskan perjuangan di mahkamah untuk menegakkan keadilan bagi mangsa Vietnam yang terjejas kesan buruk Agent Orange daripada syarikat kimia Amerika Syarikat (AS).

    Nga ialah orang awam pertama dan satu-satunya yang membuat tuntutan mahkamah terhadap 14 firma kimia multinasional, termasuk Dow Chemical dan Monsanto, yang menghasilkan dan menjual racun herba yang disembur ke atas Vietnam oleh tentera AS semasa perang.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beberapa kelompok Agent Orange telah dicemari dengan dioksin, satu bahan pencemar alam sekitar yang sangat toksik yang sedang disiasat kerana kaitannya dengan jenis kanser tertentu dan diabetes.

    Pada Mei 2021, mahkamah Perancis menolak kes Nga. Tetapi beliau enggan berputus asa.

    Tran To Nga semasa melawat kelas komputer di pusat Hanoi bagi mangsa dioksin Agent Orange. – Gambar AFP
    Tran To Nga menceritakan mengenai catatan yang tersimpan dalam bukunya semasa temu bual di Hanoi. – Gambar AFP
    Tran To Nga semasa melawat kelas jahitan di pusat Hanoi bagi mangsa dioksin Agent Orange. – Gambar AFP
    Tran To Nga semasa menghadiri sesi temu bual bersama AFP di Hanoi. – Gambar AFP

    “Saya tidak akan berhenti. Saya akan berada di sisi mangsa sehingga nafas terakhir saya,” Nga, yang sedang melawat Hanoi dari rumahnya di Paris, memberitahu AFP.

    “Ini akan menjadi pertarungan terakhir saya, dan yang paling sukar,” kata Nga, beliau sendiri merupakan mangsa Agent Orange yang menghabiskan sembilan bulan di penjara, dipenjarakan oleh rejim Vietnam Selatan kerana disyaki mempunyai hubungan dengan pemimpin komunis berpangkat tinggi.

    Aktivis itu melahirkan anak perempuan bongsunya di penjara, sebelum dibebaskan apabila komunis mengalahkan Vietnam Selatan yang disokong AS pada 30 April 1975.

    Seperti kebanyakan mangsa generasi pertama yang lain, Nga pada mulanya tidak menyedari dia telah terdedah kepada bahan tersebut.

    Pada pertengahan 20an, dia ditempatkan di pangkalan tentera Viet Cong berhampiran Saigon, kini dikenali sebagai Ho Chi Minh City sebagai wartawan pelatih yang bekerja untuk agensi Berita Pembebasan Hanoi.

    Keluar dari tempat perlindungan bawah tanah pada suatu hari, Nga telah “diselubungi dengan serbuk basah dari pesawat AS”.

    “Saya mandi hanya apabila saya diberitahu bahawa ia adalah racun herba di seluruh badan saya. Tetapi kemudian terlupa semuanya,” katanya.

    Antara awal 1962 dan 1971, pesawat pejuang AS menjatuhkan kira-kira 19 juta gelen Agent Orange, kononnya kerana ia disimpan dalam dram dengan jalur jingga untuk memusnahkan hutan dan memusnahkan tanaman Viet Cong.

    Pada masa itu, tiada siapa tahu mereka telah terdedah kepada bahan yang dipercayai ramai yang memusnahkan bukan sahaja nyawa mereka, tetapi juga anak dan cucu mereka.

    Setahun selepas pendedahan itu, pada tahun 1968, Nga melahirkan anak damit pertamanya, seorang gadis yang dilahirkan dengan kecacatan jantung kongenital yang bertahan hanya selama 17 bulan.

    “Sejak sekian lama, saya menyalahkan diri sendiri kerana menjadi ibu yang jahat, melahirkan anak damit yang sakit dan tidak dapat menyelamatkannya,” kata Nga kepada AFP.

    Hanya beberapa dekad kemudian, Nga baru menyedari bahawa anaknya adalah mangsa Agent Orange apabila dia bertemu dengan veteran dan anak-anak mereka yang cacat dalam situasi serupa.

    Pertubuhan Mangsa Agent Orange Vietnam menyatakan bahawa 4.8 juta orang terdedah secara langsung, dan lebih daripada tiga juta mengalami masalah kesihatan.

    Jabatan Hal Ehwal Veteran AS telah menyatakan bahawa ia mengandaikan – walaupun tidak ada kaitan saintifik rasmi yang terbukti bahawa sesetengah kanser, diabetes dan kecacatan bawaan berkaitan dengan pendedahan kepada Agent Orange.

    Ia juga mengakui kaitan di antara anak-anak veteran dengan spina bifida iaitu kecacatan tulang belakang dalam janin yang sedang berkembang.

    Nga sendiri mengalami kesan termasuk diabetes jenis 2 dan kanser.

    “Saya menganggap Agent Orange sebagai pencetus bagi pelbagai bahan lain yang telah merosakkan alam sekitar,” kata Nga.

    Terdapat satu kemudahan kerajaan yang telah disediakan bagi merawat mangsa Agent Orange di pinggir bandar Hanoi di mana Nga menyaksikan satu sesi pembelajaran komputer yang disampaikan oleh Vuong Thi Quyen.

    Quyen, 34 tahun, dilahirkan dengan tulang belakang yang bengkok setelah bapanya yang merupakan seorang askar terdedah semasa perang.

    “Saya sangat gembira dapat berjumpa dengan Nga, idol saya. Beliau telah melakukan banyak perkara untuk mangsa Agent Orange seperti kami,” kata Quyen kepada AFP.

    Selepas perang, Nga, yang merupakan seorang ahli kimia terlatih, telah menghabiskan bertahun-tahun sebagai guru besar di sebuah sekolah di Ho Chi Minh City sebelum memainkan peranan sebagai penghubung antara penderma di Perancis dan mangsa Agent Orange di Vietnam.

    “Saya tidak benci terhadap kerajaan atau rakyat Amerika. Hanya mereka yang menyebabkan kehancuran dan penderitaan yang harus membayar atas perbuatan mereka,” kata Nga.

    Dalam perbicaraan di Perancis, syarikat multinasional tersebut berpendapat bahawa mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan atas cara tentera Amerika Syarikat menggunakan produk mereka, dengan mahkamah memutuskan bahawa mereka ‘bertindak atas perintah’ AS dan oleh itu terkecuali daripada tindakan undang-undang.

    Nga mengatakan bahawa beliau telah ditawarkan ‘banyak wang’ untuk menyelesaikan tuntutan undang-undang tersebut, tetapi dia enggan menerimanya.

    Beliau sejak itu memulakan kempen crowdfunding untuk membiayai rayuan, yang dijadualkan pada tahun 2024.

    Sejauh ini, hanya bekas askar dari AS dan sekutunya dalam perang yang telah mendapat pampasan berkenaan Agent Orange.

    Pada tahun 2008, mahkamah rayuan persekutuan AS mengesahkan penolakan tuntutan sivil terhadap syarikat kimia utama AS yang diajukan oleh plaintif Vietnam.

    “Perjuangan untuk mendapatkan keadilan bagi mangsa Agent Orange akan berlangsung lama,” kata Nga.

    “Tetapi saya rasa saya telah memilih jalan yang betul,” ujarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda