Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peka kesihatan mental

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 31 OKT – Brunei LNG Sdn Bhd, hari ini, telah mengadakan Hari Kesedaran Kesihatan Mental di premisnya untuk mempromosikan pemahaman lebih mendalam mengenai kesihatan mental dan pentingnya menguruskan tekanan dalam kalangan kakitangannya dan rakan-rakan niaga.

    Acara yang diadakan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia (diraikan setiap 10 Oktober) dengan membawa tema ‘Kesihatan Mental dan Pencegahan Bunuh Diri’ itu merupakan kolaborasi antara Jabatan Kesihatan Pekerjaan, Brunei LNG dan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan itu diisikan dengan taklimat dan pameran.

    Pengurus Sumber-sumber Manusia, Komunikasi dan Perhubungan Luar, Dayang Mizan Adiliah binti Haji Mohamad Deli yang hadir semasa majlis pelancaran acara berkenaan menekankan peningkatan besar dalam jumlah kadar bunuh diri di Brunei Darussalam.

    “Di Brunei, kadar bunuh diri meningkat daripada 1.9 kematian bagi setiap 100,000 orang pada 2015 kepada 2.6 kematian bagi setiap 100,000 pada 2018. Antara 2016 dan 2017 sahaja, jumlah bunuh diri meningkat sebanyak 62 peratus.

    “Setiap kejadian bunuh diri merupakan satu tragedi yang menjejaskan keluarga, masyarakat dan mempunyai kesan berpanjangan terhadap mereka yang ditinggalkan,” tambah beliau.

    Kakitangan Brunei LNG mendengarkan ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan pada Hari Kesedaran Kesihatan Mental. – Gambar oleh Brunei LNG

    Menyentuh mengenai kesihatan mental di tempat kerja, Dayang Mizan menggalakkan rakan-rakan untuk saling menjaga kesihatan mental dengan menyatakan perlunya untuk bersikap belas kasihan dan menunjukkan kesediaan untuk mendengar dan memberikan sokongan.

    “Dengan menangani cara kita berfikir dan bertindak mengenai kesihatan mental, kita boleh menyokong orang lain dengan mengelak sampai ke tahap krisis.

    “Kita juga mempunyai peluang untuk meningkatkan kesedaran mengenai fikiran dan rasa bunuh diri serta membantu mengurangkan stigma besar yang menyelubungi perkara ini, mengurangkan kemungkinan bahawa seseorang yang kita kenali mungkin mengambil nyawanya sendiri,” ujar beliau lagi.

    Hadir selaku penceramah jemputan pada acara itu ialah Pemangku Pakar Bersekutu dan Timbalan Ketua Perkhidmatan Psikiatri dari Hospital RIPAS, Dr Dayangku Fariza binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani yang bercakap mengenai ‘Kesihatan Mental di Tempat Kerja’.

    Brunei LNG berharap untuk menganjurkan aktiviti serupa sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mewujudkan keseimbangan kerja dan pekerjaan dalam kalangan kakita-ngan dan rakan-rakan niaganya menerusi gaya hidup sihat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda