Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 30 Julai – Suasana di Pekan Tutong begitu meriah dan bergemerlapan malam tadi dengan persembahan bunga api bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-71, yang berlangsung di Tatangan Sungai Tutong.
Orang ramai dan penduduk di Daerah Tutong tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan bunga api secara lebih dekat di hadapan mercu tanda Sungai Tutong.
Turut hadir menyaksikan persembahan bunga api berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara di Daerah Tutong, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung; Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong; Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain bersama penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong.
Persembahan bunga api adalah salah satu acara keraian sempena perayaan di Daerah Tutong yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Persembahan Bunga Api Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke 71 Tahun 2017 bagi Daerah Tutong.
