Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pekebun Brazil promosi kapas mesra alam

    CRISTALINA, BRAZIL – Jalan raya melalui Cristalina, Brazil terletak di tengah-tengah kawasan tropika, namun ladang di kiri kanan jalan kelihatan seolah-olah diliputi salji – paf kapas putih terbentang ke utara, saujana mata memandang.

    Tanaman putih gebu itu yang terdapat merata tempat dan diselang-seli dengan ladang jagung dan kacang soya di luar bandar barat itu merupakan sebahagian daripada revolusi tidak ketara di Brazil: berdepan isu negatif berhubung kesan alam sekitar ke atas industri perniagaan tani, pekebun kini semakin beralih kepada penanaman kapas dan mengamalkan teknik mampan untuk mengeluarkannya.

    Selepas menambah eksport 15 kali ganda dalam tempoh dua dekad lalu, Brazil kini menjadi pembekal kapas kedua terbesar dunia, selepas Amerika Syarikat (AS) – dan pengeluar terbesar kapas mampan.

    Kira-kira 84 peratus daripada kapas yang ditanam di kawasan pertanian yang amat luas di Amerika Selatan diperakui oleh Inisiatif Kapas Better (BCI), kumpulan bukan bersifat keuntungan antarabangsa yang mempromosi penanaman kapas mampan.

    “Pengguna sudah berubah. Orang tidak mahu lagi membeli produk yang tidak menghormati alam semula jadi dan kitarannya,” kata ahli entomologi Cristina Schetino dari Universiti Brasilia, yang mengkhusus dalam penanaman kapas.

    Pekerja mengambil sampel daripada bandela kapas di ladang Pamplona di Cristalia. – AFP
    Sebuah mesin penuai menuai kapas di ladang Pamplona di Cristalina, negeri Goias, barat Brazil. – AFP
    Kapas yang digunakan untuk menyelidiki kawalan serangga perosak biologi di ladang kapas di Brasilia. – AFP
    Penyelidik dari Universiti Brasilia Cristina Schetino bercakap mengenai kawalan haiwan perosak biologi dalam penanaman kapas semasa temu bual dengan AFP di ladang Brasilia. – AFP
    Kelihatan bandela kapas di ladang Pamplona. – AFP

    Industri itu berusaha mempertingkat imej antarabangsa mengenai perladangan Brazil, dicemari oleh sejarah pekerja hamba, penggunaan racun perosak yang berleluasa serta pemusnahan hutan hujan Amazon untuk pertanian, satu trend yang telah meningkat pesat di bawah pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro – sekutu perniagaan tani.

    Pada 2005, Persatuan Pengeluar Kapal Brazil (Abrapa) melancarkan program latihan mampan untuk pekebun dan memperkenalkan protokol mengenai penggunaan air dan racun perosak secara efisien serta menghapus produk toksik secara berperingkat-peringkat demi memilih baja biologi.

    Sementara itu, satu program penjejak baharu dilancarkan dengan jenama pakaian Brazil, untuk membenarkan pengguna memeriksa bagaimana barangan kapas dihasilkan.

    Pada musim lalu, pekebun kapas di Brazil mengganti 34 peratus daripada racun perosak kimia dengan jenis biologi, kata Abrapa.

    Mereka juga telah mula menggunakan dron untuk menyembur racun perosak dengan efisien.

    Beralih kepada teknik mampan merupakan ‘satu proses pendidikan semula,’ ujar pengarah eksekutif Abrapa, Marcio Portocarreiro.

    “Pada mulanya, pekebun cenderung memikirkan mengenai kesan ke atas keuntungan mereka. Namun apabila mereka melepasi fasa itu, mereka menyedari perladangan mampan memberikan mereka pasaran yang terjamin,” beritahunya kepada AFP.

    Terletak di luar Cristalina, kira-kira 130 kilometer ke selatan Brasilia, ibu negara, Fazenda Pamplona adalah salah satu penyokong terbesar kapas mampan di Brazil.

    Ladang seluas 27,000 hektar, dikendalikan oleh syarikat perniagaan tani SLC Agricola, adalah seperti sebuah bandar kecil di tengah kawasan desa, dengan dewan bankuet, taman kanak-kanak, padang sukan dan kawasan perumahan untuk pekerja.

    Ladang itu berhasrat mengekalkan pekerja dengan membina sebuah rumah di mana mereka ingin tinggal, menurut penyelaras pengeluaran Diego Goldschmidt.

    Beliau berdiri di depan dua bandela besar kapas, berlabel kod QR yang memaklumkan hasil tuaian mereka.

    “Kesemua ini telah pun dijual,” katanya sambil tersenyum.

    Ladang itu menghasilkan lebih daripada 600,000 tan pada tahun lalu, 99 peratus daripadanya untuk dieksport.

    Kapas mampan dijual pada harga 10 peratus lebih tinggi daripada kapas biasa.

    “Selain merupakan perkara yang betul untuk dilakukan untuk masyarakat dan alam sekitar, ia memberikan nilai tambahan,” kata Goldschmidt.

    Namun kapas kekal merupakan salah satu tanaman yang paling banyak menggunakan racun perosak, menggunakan lebih dua kali ganda berbanding tanaman kacang soya setiap satu hektar. Masalah yang dihadapi adalah serangga perosak yang tersebar luas seperti kumbang dan ketiadaan produk organik untuk menghapuskannya, kata Schetino.

    “Masih timbulnya banyak kebergantungan pada produk kimia, yang mempunyai kesan alam sekitar yang negatif.”

    Brazil menanam kira-kira 1.6 juta hektar kapas setahun. Ia adalah pembekal utama untuk industri pakaian global, mengeksport ke negara China, Vietnam, Pakistan dan Turkiye.

    Abrapa telah menetapkan matlamat bercita-cita tinggi untuk mengatasi AS dan menjadi pembekal kapas terbesar di dunia menjelang tahun 2030.

    “Brazil mungkin belum mempunyai imej yang baik mengenai perladangan mampan,” kata Goldschmidt.

    “Namun ia akan berubah tidak lama lagi. Wujudnya banyak potensi dalam sektor ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda