KENINGAU, 29 Jun – Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Pedalaman Sabah (PEKEBUN) menyokong penuh cadangan mewujudkan sebuah pusat sehenti pertanian berkapasiti besar di Keningau kerana ia dilihat berpotensi melonjakkan lagi sektor pertanian daerah itu ke tahap lebih tinggi.
Timbalan Pengerusinya, Philip Lee berkata ini kerana pusat sehenti pertanian mampu menjadi platform pemasaran berpusat segala jenis hasil pertanian para petani dan pekebun Keningau selain berupaya mengawal aktiviti pemborong haram dalam kalangan warga asing. Menurutnya, sejak lebih 20 tahun sehingga ke hari ini belum ada perkhidmatan pemborong yang membeli hasil pertanian disediakan kerajaan sehingga menyebabkan pekebun dan petani tempatan terperangkap berurusan dengan pemborong haram kerana mereka tiada pilihan lain untuk memasarkan hasil tani mereka.
“Bagaimanapun, pemborong haram yang dimonopoli warga asing dengan sesuka hati menawarkan harga sehingga ke paras tidak wajar. Mereka mengaut keuntungan sehingga 70 peratus… meraih keuntungan berlipat kali ganda berbanding pekebun,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. – Bernama