LONDON, 21 DIS – Pekerja ambulans United Kingdom (UK) melancarkan mogok hari ini, memburukkan lagi perbalahan dengan kerajaan berhubung keengganan mereka untuk menaikkan gaji bertujuan mengatasi inflasi selepas mogok oleh jururawat baru-baru ini.
Beberapa siri mogok telah mencetuskan gangguan di Britain sebelum Krismas, dengan pekerja kereta api dan pegawai kawalan pasport juga mengugut akan menjejas musim percutian ketika kerajaan enggan memenuhi tuntutan gaji mereka.
Hari ini, kakitangan ambulans di Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS), termasuk paramedik mengadakan mogok, mendorong amaran daripada ketua penjagaan kesihatan mengenai bebanan sistem kesihatan yang telah pun mengalami krisis.
Beribu-ribu anggota Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) di England, Wales dan Ireland Utara menyertai barisan piket semalam, lima hari selepas mogok pertama mereka dalam sejarah 106 tahun. Kesatuan yang mewakili jururawat dan pekerja ambulans NHS telah mengugut akan melancarkan mogok seterusnya pada tahun baharu sekiranya kerajaan enggan membincang bayaran gaji.
Kira-kira 40 kakitangan membentuk barisan piket di luar hab Perkhidmatan Ambulans West Midlands di Longford di tengah England, berdiri di belakang panji-panji berbunyi ‘NHS kami telah dikepung’.
Pekerja di seluruh UK menuntut kenaikan gaji ketika berdepan inflasi tinggi – kini mencecah hampir 11 peratus – yang mendorong krisis sara hidup paling teruk dalam satu generasi.
“Kami mahu kerajaan sedar bahawa situasi ini adalah serius.” – AFP


