WASHINGTON, 21 SEPT – Syarikat-syarikat besar Amerika Syarikat (AS) segera menasihati pekerja asing mereka supaya kekal berada di negara itu selepas Presiden Donald Trump mengenakan yuran baharu yang tinggi bagi visa pekerja mahir, lapor agensi Berita Jerman dpa memetik laporan media kelmarin.
Pekerja dengan visa H-1B yang kini berada di luar negara dinasihatkan kembali ke AS dalam tempoh 24 jam, lapor Business Insider, yang memetik kakitangan serta komunikasi dalaman di syarikat teknologi Amazon, Meta dan Microsoft, selain bank JPMorgan.
Menerusi memo dalaman Amazon, kakitangan yang gagal kembali dalam tempoh ditetapkan diminta untuk kekal di lokasi masing-masing sehingga notis selanjutnya, menurut Business Insider.
Syarikat-syarikat terbabit bimbang pengambilan pekerja asing akan menjadi jauh lebih mahal atau bahkan mustahil pada masa depan sekiranya mereka ingin kembali memasuki AS selepas berada di luar negara, menurut laporan itu lagi.
Jumaat lepas, Trump secara mengejut mengenakan yuran tahunan sebanyak AS$100,000 bagi visa H-1B, berbanding sebelum ini yang hanya mengenakan kos pemprosesan beberapa ribu dolar AS. – Bernama


