Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Seperti program vaksinasi kebangsaan, semua penduduk yang bermastautin di negara ini akan turut diberikan vaksinasi tambahan (dos penggalak) termasuklah pekerja asing dan mereka yang telah menerima vaksin di luar negara.
Pada ketika ini, petugas barisan hadapan diutamakan terlebih dahulu bagi menerima vaksin tambahan, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Di samping itu, Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa selain petugas barisan hadapan, golongan warga emas dan mereka yang berumur di atas 50 tahun turut dialu-alukan untuk menerima vaksin tambahan tersebut.