Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pekerja Bangkok disaran bekerja dari rumah

    BANGKOK, 15 FEB – Pekerja bandar Bangkok telah disarankan untuk bekerja dari rumah bagi mengelakkan pencemaran udara yang berbahaya, ketika lapisan jerebu berbahaya menyelubungi ibu kota Thailand, hari ini.

    Pihak berkuasa bandar meminta kerjasama daripada majikan untuk membantu pekerja di bandar yang mempunyai kira-kira 11 juta orang itu bagi mengelakkan pencemaran, yang dijangka berlarutan sehingga esok.

    Laman web pemantauan udara IQAir meletakkan Bangkok antara 10 bandar paling tercemar di dunia hari ini. Paras zarah PM2.5 paling berbahaya yang sangat kecil sehingga boleh memasuki aliran darah adalah lebih daripada 15 kali ganda garis panduan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, menurut IQAir.

    Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata kelmarin semua pekerja bandar akan bekerja dari rumah bermula hari ini dan esok.

    “Saya ingin meminta kerjasama daripada rangkaian BMA kira-kira 151 buah syarikat dan organisasi, sama ada pejabat kerajaan mahupun swasta,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah lebih 60,000 orang terjejas.

    BMA ialah singkatan bagi Pentadbiran Metropolitan Bangkok.

    Chadchart berkata 20 daripada 50 daerah Bangkok dijangka mempunyai tahap zarah PM2.5 yang tidak sihat, dan masalah itu akan berlarutan kerana cuaca yang tenang. – AFP

    Bangunan pencakar langit dilihat semasa tahap pencemaran udara yang tinggi di Bangkok pada 15 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda