Pekerja bebas disaran rebut peluang pekerjaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Dengan keadaan penularan wabak COVID-19 di negara ini setentunya memberi kesan kepada pendapatan para pekerja bebas (freelancers) kerana mereka tidak dapat menawarkan lagi perkhidmatan kepada para pelanggan.

Semasa penularan COVID-19, Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) sedang memantau bukan sahaja mereka yang diberhentikan kerja tetapi memantau pekerjaan baharu yang dijanakan.

Sehingga hari ini iaitu sejak 7 Ogos, terdapat 103 pekerjaan baharu yang dihasilkan di mana terdapat beberapa buah syarikat sedang mencari pekerja dan sebilangan pekerja bebas berkenaan disarankan untuk merebut peluang pekerjaan itu.

“Mereka tidak mempunyai majikan dan oleh itu, dalam keadaan sekarang yang kurang memberangsangkan serta terdapat peluang, mereka boleh mengambil pekerjaan itu buat sementara sehingga masa yang sukar ini berlalu.”

Nasihat dan pendapat bagi pekerja bebas itu dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa sidang media, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau menambah bahawa apabila keadaan semakin baik, mereka boleh kembali menawarkan perkhidmatan yang terdahulu.

Mengulas mengenai dasar seperti yang diperkenalkan oleh negara-negara lain seperti membenarkan pembukaan perniagaan setelah mencapai 70 peratus penduduk diberikan vaksin, Yang Berhormat Dato menerangkan pemikiran bagi dasar berkenaan adalah untuk membantu menghidupkan semula ekonomi mereka seperti membenarkan restoran untuk menerima pelanggan makan di dalamnya, pembukaan kedai gunting dan sebagainya.

Sementara itu, bagi Brunei, sebelum perkara itu dapat dilaksanakan, pihak kerajaan akan mempertimbangkan keadaan penjagaan kesihatan dan sebelum mencapai tahap itu, mereka harus yakin sepenuhnya bahawa mereka benar-benar dapat mengawal virus sebelum dapat mula melonggarkan kawalan.

Perkara itu, tekannya lagi, memerlukan perbincangan di antara pelbagai kementerian sebelum ia dapat dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

Manakala itu, mengulas persoalan jika mereka jatuh sakit disebabkan COVID-19 adakah ia dilindungi oleh insurans mereka, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa bagi polisi-polisi insurans yang sedia ada ia tidak meliputi COVID-19 tetapi terdapat beberapa syarikat insurans akan membiayai sebahagian kos jika mereka jatuh sakit disebabkan oleh COVID-19.

Beliau berkata bahawa ia berdasarkan bukan polisi insurans berkenaan tetapi adalah sebagai tanda muhibah daripada pihak insurans itu. Sehingga kini, jelasnya lagi, tidak terdapat sebarang syarikat insurans yang memberikan perlindungan bagi COVID-19.