Saturday, November 30, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pekerja berintegriti, aset berharga

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Pekerja yang berintegriti akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh disiplin dan bertingkah laku dengan adab dan moral yang tinggi.
     
    Penerapan integriti dalam pekerjaan, amat penting untuk dilaksanakan bagi mencegah daripada berlaku jenayah seperti rasuah, tekan khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Penerapan Integriti Dalam Pekerjaan.
     
    Integriti, katanya, juga dirujuk kepada melakukan sesuatu yang betul dan benar walaupun tiada orang yang melihat atau memperhatikan.
     
    Sebagai pekerja, hendaklah sentiasa melakukan tugas dengan jujur berlandaskan prosedur dan syarat yang ditetapkan oleh peraturan jabatan atau syarikat serta undang-undang.
     
    “Kita tidak wajar membelakangi mana-mana prosedur kerja untuk kepentingan diri sendiri. Kita hendaklah bekerja dengan jujur, penuh dedikasi dan bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan dan kualiti kerja yang terbaik untuk masyarakat,” tambahnya.
     
    GAMBAR FAIL MEDIA PERMATA
    Pekerja yang mempunyai integriti tinggi juga merupakan benteng yang kukuh dalam memastikan tiada pelanggaran peraturan atau undang-undang dalam organisasinya.
     
    “Mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan anasir yang jahat kerana mereka tahu akibat daripada perbuatan tersebut akan membawa mereka kepada kesusahan dan kemudaratan,” tekan khatib.
     
    Integriti satu perkataan yang sering didengar yang menerangkan tentang sifat yang unggul merangkumi nilai murni dan amalan bermoral tinggi seperti jujur, amanah, ikhlas, adil, berpegang kepada prinsip, boleh dipercayai, tidak mudah dipengaruhi dan telus serta patuh kepada peraturan dan undang-undang.
     
    “Namun sejauh manakah kita mempraktikkan dan menerapkannya dalam pekerjaan?” soalnya. Tidak dinafikan, katanya, ada kalanya integriti diuji ketika melaksanakan tugas dan menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.
     
    Menurut khatib lagi, integriti dalam pekerjaan boleh dilihat dari pelbagai sudut dan ianya bermula dengan sikap kehadiran ke tempat kerja sama ada menepati waktu bertugas atau tidak, kepatuhan kepada peraturan jabatan dan etika kerja seperti keberadaan di tempat kerja serta cara mengendalikan diri semasa bertugas.
     
    “Semua itu menunjukkan sama ada kita seorang pekerja yang berintegriti ataupun tidak,” jelasnya.
     
    Beliau menegaskan kegagalan dalam menepati kehadiran waktu bertugas, boleh dilihat sebagai satu perkara yang kecil dan biasa sahaja, tetapi jika ia berlarutan boleh menjejaskan prestasi dan kualiti pekerjaan serta perkhidmatan.
     
    Ingatlah mereka yang tidak menegakkan nilai integriti dalam pekerjaan, boleh memberi kesan yang cukup besar dalam kehidupan iaitu terjerumus ke dalam kemungkaran antaranya penyelewengan dan salah guna kuasa, khianat, penipuan serta perbuatan rasuah yang pastinya boleh meruntuhkan organisasi, institusi masyarakat dan mengancam keselamatan negara.
     
    Selain itu, katanya, boleh hilangnya keberkatan dan keredaan Allah dalam kehidupan dan bagi mengelakkan perkara ini, integriti perlu diserapkan dan dipraktikkan dalam diri sendiri.
     
    Beliau juga menegaskan, rasuah itu salah satu ujian atau cabaran terbesar bagi setiap pekerja.Pekerja berintegriti mampu menolak rasuah dengan tegas kerana mereka tahu perbuatan rasuah merupakan kesalahan serius dan boleh menjejaskan masa depan.
     
    Apa-apa yang diperolehi daripada rasuah, tidak akan mendatangkan keberkatan apatah lagi, jika memakan hasil rasuah yang hukumnya haram.
     
    Di Negara Brunei Darussalam, tekannya, tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa yang terlibat dengan kesalahan rasuah, jika sabit kesalahan, mereka akan didenda $30,000 dan penjara tujuh tahun.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda