KUPANG, 1 OGOS – Pekerja di Taman Negara Komodo, Indonesia memulakan mogok sebulan hari ini selepas kerajaan menaikkan harga tiket kemasukan ke taman itu.
Kenaikan harga tiket 18 kali ganda untuk memasuki pulau-pulau popular di taman itu dibuat bagi mengehadkan jumlah pelawat untuk melindungi biawak komodo yang terancam akibat pendedahan berlebihan kepada manusia dan kerosakan alam sekitar.
Langkah itu, yang berkuat kuasa hari ini, menaikkan yuran kemasukan ke Pulau Komodo dan Padar di Tapak Warisan Dunia di wilayah Nusa Tenggara Timur daripada 200,000 rupiah (AS$13) kepada 3.75 juta rupiah (AS$252).
Namun, ia mencetuskan kekecohan dalam kalangan penduduk tempatan yang bergantung kepada sektor pelancongan dan perniagaan berkaitan industri di taman negara ditutup hari ini sebagai langkah membantah kenaikan itu.
“Kami tiada pilihan lain. Semua pendapat dan hujah rasional sudah kami sampaikan, tetapi kerajaan tidak mendengar,” kata pengusaha pelancongan di bandar pintu masuk ke taman itu, Labuan Bajo, Servianus Setiawan
“Kami menyokong pemuliharaan komodo tetapi kenaikan mestilah dengan jumlah yang wajar supaya kami dapat melindungi spesies ini dan mereka yang bergantung mata pencariannya dengan pelancongan di kawasan ini,” tambahnya.
Sekurang-kurangnya 700 pekerja akan mengambil bahagian dalam mogok sehingga akhir Ogos, kata Servianus. – AFP
