BEIJING, 10 JULAI – Majikan-majikan di seluruh China diarah untuk mengehadkan kerja luar disebabkan suhu panas terik, manakala kawasan-kawasan di timur dan barat daya diberi amaran untuk bersiap sedia menghadapi hujan lebat ketika negara itu bergelut dengan panas, banjir dan kemarau.
Suhu setinggi 40C dilaporkan di bandar-bandar termasuk Shijiazhuang, barat daya Beijing.
Suhu tertinggi 35C hingga 38C dilaporkan di Beijing, Guangzhou di selatan, Chongqing di barat daya dan Shenyang di timur laut.
Agensi cuaca mengeluarkan amaran jingga, amaran kedua tertingginya, untuk haba di seluruh selatan China dan sebahagian besar utara dan timur laut.
Ini memerlukan majikan untuk mengehadkan kerja luar, walaupun pekerja penghantaran untuk restoran dan peruncit dalam talian masih bekerja.
Kementerian Pertanian memberi amaran kelmarin bahawa cuaca panas berterusan boleh menjejaskan hasil padi dan memberitahu pihak berkuasa tempatan untuk memastikan bekalan air mencukupi bagi mengelakkan tanaman tersebut masak lebih awal.

Sementara itu, Kementerian Sumber Air mengingatkan penduduk wilayah Shandong di pantai timur dan Sichuan di barat daya untuk bersiap sedia menghadapi hujan lebat bermula esok hingga Jumaat, menurut agensi berita rasmi Xinhua. Ia berkata beberapa sungai berkemungkinan meningkat melebihi paras selamat.
Hujan lebat mencetuskan tanah runtuh pada Sabtu di tengah bandar Yichang di wilayah Hubei yang menimbus tapak pembinaan lebuh raya dan telah meragut nyawa.
Pihak berkuasa sedang mencari tujuh pekerja pembinaan yang hilang hari ini, lapor Xinhua.
Perniagaan dan sekolah-sekolah di wilayah Heilongjiang di timur laut diarah menutup peralatan elektrik luar selepas hujan turun sekitar 84 milimeter dalam masa satu jam, menurut TV kerajaan.
Ia berkata polis trafik diarah menutup bahagian jalan berbahaya.
Puluhan ribu orang yang diarah berpindah dari rumah mereka akibat banjir sebelum ini telah ditempatkan di lokasi perlindungan di utara, tengah dan tenggara China.
Penduduk di beberapa buah bandar pula telah berpindah ke lokasi perlindungan serangan udara bawah tanah untuk berlindung daripada cuaca panas.
Purata suhu bumi mencatatkan rekod tertinggi tidak rasmi baharu Khamis lepas, catatan pecah rekod ketiga seumpamanya berkaitan minggu paling panas. – AP

