Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pekerja Disneyland ancam mogok kerana gaji, layanan

    ANAHEIM, 18 JULAI – Lebih 200 pekerja Disneyland Resort membantah di luar taman tema California yang terkenal di dunia kelmarin menggesa gaji yang lebih baik dan mengecam dakwaan amalan anti kesatuan oleh syarikat itu.

    Sebahagian pekerja tampil dengan pakaian bertemakan Indiana Jones dan Star Wars dari taman itu untuk menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh kesatuan sekerja mewakili kira-kira 14,000 pekerja Disneyland yang merangkumi daripada pengusaha rollercoaster sehingga kepada pembuat gula-gula.

    Slogan antara papan tanda yang dibawa termasuk ‘Mickey mahukan gaji yang adil’ dan ‘Disney, jangan jadi penjahat’ pada perarakan di Anaheim, dekat Los Angeles.

    Disney telah pun berunding sejak April dengan empat ahli kesatuan California mewakili pekerja tamannya. Bagaimanapun, rundingan itu setakat ini tidak membuahkan hasil, dan kesatuan sekerja menuduh taman yang dipanggil ‘Tempat Paling Bahagia di Dunia’ itu sebagai tempat yang menakutkan pekerja-pekerjanya.

    Disney didakwa telah menegur dan mengeluarkan amaran kepada lebih 500 pekerja kerana memakai pin kesatuan yang memaparkan imej sarung tangan Mickey Mouse. Dakwaan itu telah mendorong siasatan oleh Lembaga Perhubungan Buruh Kebangsaan. Disney berkata butang kesatuan itu melanggar kod pakaian ‘Disney Look’nya.

    Pekerja terlibat akan mengundi sama ada untuk melakukan mogok yang sah pada Jumaat ini. Jika tindakan itu diluluskan, kesatuan sekerja akan memutuskan terma dan tempoh mogok itu. Sementara itu, rundingan kontrak dengan Disney pula ditetapkan pada Isnin dan Selasa depan.

    Sebelum ini, pekerja-pekerja di resort Disneyland yang terdiri daripada taman tema Disneyland dan Disney California Adventure tidak pernah mogok sejak 1984, menurut LA Times. – AFP

    Pekerja Disney berhimpun di luar pintu masuk utama Disneyland Resort di Anaheim, California, pada 17 Julai menjelang undian kebenaran mogok yang dirancang. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda