Pekerja dunia kehilangan gaji AS$3.5 trilion

GENEVA, 23 SEPT – Pandemik koronavirus telah memberikan kesan lebih teruk ke atas pekerjaan daripada diramalkan sebelumnya, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, dengan ratusan juta pekerjaan hilang dan pekerja mengalami kemerosotan ‘besar’ dalam pendapatan.

Dalam kajian baharu, Pertubuhan Pekerja Antarabangsa (ILO) mendapati pada pertengahan tahun, waktu kerja global telah berkurangan sebanyak 17.3 peratus berbanding Disember lalu – bersamaan dengan hampir 500 juta pekerjaan sepenuh masa.

Ia adalah bersamaan hampir 100 juta pekerjaan tambahan daripada jumlah yang diramalkan oleh ILO pada Jun, apabila ia menjangka 14 peratus waktu bekerja hilang pada akhir tempoh tiga bulan kedua tahun itu.

“Impak adalah amat teruk,” beritahu ketua ILO Guy Ryder kepada wartawan dalam taklimat maya, berkata pendapatan pekerja global telah menyusut sebanyak 10.7 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Angka tersebut adalah bersamaan dengan kemerosotan kira-kira AS$3.5 trilion, atau 5.5 peratus daripada keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global, menurut ILO.

Selain cabaran kesihatan, perintah berkurung, pengharaman perjalanan dan langkah lain yang diambil untuk mengawal virus telah memberikan kesan teruk ke atas pekerjaan dan pendapatan di seluruh dunia. – AFP