HO CHI MINH CITY, 14 DIS – Phan Thi Nhieu menghabiskan masa sedekad menghasilkan kasut bagi jenama-jenama dunia seperti Timberland dan K-Swiss, namun beliau kini menjadi antara puluhan ribu orang pekerja kilang Vietnam yang diberhentikan ketika pengguna Barat mengurangkan perbelanjaan.
Hampir setengah juta yang lain telah dipaksa bekerja dalam masa lebih singkat ketika tempahan berkurangan di negara Asia Tenggara itu, salah satu pengeksport pakaian, kasut dan perabot terbesar dunia.
Krisis kos sara hidup di Eropah dan Amerika Syarikat, pasaran-pasaran utama bagi barangan yang dihasilkan di Vietnam, telah menyaksikan kuasa pembelian pembeli Barat menjunam.
Pekerja-pekerja wanita, yang merangkumi 80 peratus tenaga buruh dalam industri pakaian Vietnam, paling terjejas teruk.
Awal bulan lalu, Nhieu berusia 31 tahun yang tinggal dalam bilik berukuran 9 meter persegi di Ho Chi Minh City bersama dua orang anak kecil dan suaminya, dimaklumkan bahawa dia tidak lagi diperlukan di Syarikat Ty Hung, sebuah syarikat pembuat kasut yang membekalkan jenama-jenama besar di Barat.
“Mereka memberitahu kami bahawa mereka tidak mempunyai tempahan yang mencukupi,” katanya mengenai pengumuman Ty Hung yang akan memecat 1,200 daripada 1,800 kakitangannya.
“Saya sangat terkejut dan takut, saya menangis, tetapi saya tidak dapat melakukan apa-apa, saya terpaksa menerimanya,” ujarnya.
Bagi kerja itu, Nhieu hanya memperoleh AS$220 sebulan di sebuah bandar mahal di mana purata pendapatan bulanan adalah AS$370, namun wang itu tetap ada dan lebih baik daripada memetik cendawan yang dilakukannya ketika remaja di bawah bahang matahari di Mekong Delta.
Kini, dengan hanya bergantung bayaran pampasan selama dua bulan, Nhieu perlu menyara keluarganya dengan beberapa dolar sehari, dan anak-anaknya bergelut untuk mendapatkan makanan yang mencukupi. – AFP