Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Seorang wanita Indonesia yang melarikan diri daripada majikannya selama lebih setahun telah dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan diperintahkan untuk membayar denda $800.
Kamariah Antum, 46, perlu menjalani hukuman penjara tambahan selama sebulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret secara dalam talian pada Sabtu lepas setelah keluar dari Pusat Pengasingan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong pada 4 November lalu selepas disahkan negatif COVID-19.
Pendakwa Raya Imigresen Adi Yusra Adanan memaklumkan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid bahawa selepas dikeluarkan dari pusat pengasingan tersebut, tertuduh telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) untuk siasatan.
Semasa siasatan, tertuduh mendakwa bahawa pasportnya ada bersama majikannya.
Bagaimanapun, selepas menyemak pangkalan data, penyiasat mendapati pas kerjanya telah tamat tempoh pada 26 Oktober 2020.
Siasatan turut mendapati bahawa bekas majikannya telah memfailkan laporan pada 15 Ogos 2020 yang mengatakan bahawa tertuduh telah melarikan diri.
Tertuduh berkata, semasa melarikan diri, dia menyewa sebuah bilik di Jerudong dengan bayaran $100 sebulan dan bekerja bebas sebagai tukang bersih dengan upah $25 sehari. Dia juga mengesahkan tidak meminta bantuan daripada pihak berkuasa lebih awal mengenai status imigresennya.