Oleh Ak Zaki Kasharan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Mahkamah Majistret di sini, hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan tiga sebatan terhadap seorang warga Bangladesh yang mengaku bersalah tinggal lebih masa di negara ini lebih dua tahun selepas pas kerjanya tamat tempoh.
Pendakwa raya Imigresen Hadiyatul Majeedah binti Awang Usin memaklumkan kepada mahkamah bahawa defendan, Md Golam Rabbani, 31, telah ditahan pada 9:11 pagi 7 September lalu di pejabat imigresen apabila defendan memohon untuk dihantar pulang.
Kes defendan telah diserahkan kepada pihak penguat kuasa yang mendapati bahawa defendan telah melarikan diri daripada majikannya.
Majikannya memfailkan laporan pada 29 Jun 2021 dan pas kerja defendan sah sehingga 21 Julai 2021.
Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman mendengar bahawa defendan telah bekerja secara bebas sejak dia melarikan diri daripada majikan sehingga ditahan.


