REDMOND, 8 APRIL – Microsoft telah memecat dua pekerja yang mengganggu sambutan ulang tahun ke-50 syarikat berkenaan apabila membantah pembekalan kecerdasan buatan (AI) kepada tentera Israel, menurut kumpulan yang mewakili pekerja.
Microsoft menuduh salah seorang pekerja dalam surat pemecatannya kelmarin kerana salah laku, “yang direka untuk menjadi masyhur dan menyebabkan gangguan maksimum kepada acara yang sangat ditunggu-tunggu.”
Seorang pekerja lain juga telah mengumumkan peletakan jawatannya, tetapi diarah keluar lima hari lebih awal kelmarin.
Protes bermula pada hari Jumaat apabila jurutera perisian Microsoft, Ibtihal Aboussad menuju ke pentas semasa seorang eksekutif sedang membuat pembentangan produk baharu AI Microsoft.
“Awda mendakwa bahawa awda mengambil berat tentang menggunakan AI untuk kebaikan tetapi Microsoft menjual senjata AI kepada tentera Israel,” Aboussad menjerit kepada Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, AI Mustafa Suleyman. “Lima puluh ribu orang telah mati dan Microsoft menguasai pembunuhan beramai-ramai itu dari sini.”
Protes itu memaksa Suleyman menghentikan sementara ceramahnya yang turut disiarkan secara langsung dari kampus Microsoft di Redmond, Washington. Pengasas bersama, Bill Gates dan bekas CEO, Steve Ballmer turut berada di sana ketika acara tersebut.
“Terima kasih atas bantahan awda, saya mendengar awda,” Suleyman memberi reaksi dengan tenang. Aboussad meneruskan dengan menjerit bahawa Suleyman dan ‘semua Microsoft’ mempunyai darah di tangan mereka dan melempar selendang keffiyeh ke atas pentas sebelum dibawa keluar dari acara itu.
Aboussad, yang berpangkalan di ibu pejabat Microsoft di Kanada di Toronto, telah dipecat serta-merta kelmarin, menurut kumpulan advokasi No Azure untuk Apartheid, yang juga membantah penjualan platform pengkomputeran awan Azure Microsoft kepada Israel.
Dalam surat pemecatannya, Microsoft memberitahu Aboussad bahawa dia boleh mengemukakan kebimbangannya secara sulit kepada pengurus. Namun, Aboussad sebaliknya membuat, “tuduhan yang bermusuhan, tanpa provokasi dan sangat tidak wajar” terhadap Suleyman dan syarikat dan, “bertindak begitu agresif dan mengganggu sehingga terpaksa diiringi keluar dari bilik oleh keselamatan.”
Penunjuk perasaan kedua, juga pekerja Microsoft, Vaniya Agrawal, turut mengganggu acara berkenaan kemudiannya.
Februari lalu, lima pekerja Microsoft telah turut dikeluarkan daripada mesyuarat dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Satya Nadella kerana membantah kontrak.
Microsoft enggan mengulas tentang tindakan lanjut, tetapi Aboussad dan Agrawal jangka akan dikenakan tindakan lagi selepas kedua-duanya kehilangan akses akaun kerja mereka sejurus selepas protes. – AP
