KARACHI, 10 DIS – Pekerja industri pakaian di negara-negara Asia Selatan dan Asia Tenggara semakin terkesan oleh perubahan iklim dalam bentuk tekanan haba yang mengakibatkan keletihan, pengsan, dan strok haba, menurut laporan terkini.
Laporan bertajuk “Hot Air: How Will Fashion Adapt to Accelerating Climate Change?” itu diterbitkan oleh Institut Buruh Global (GLI), sebuah organisasi berpangkalan di United Kingdom (UK) yang menyediakan perkhidmatan penyelidikan dan pendidikan kepada kesatuan sekerja tempatan dan antarabangsa, lapor Agensi Anadolu.
Laporan itu menjangka kerosakan ekonomi akibat kepanasan melampau dan banjir besar terhadap pengeluaran fesyen, dengan meramalkan hampir satu juta peluang pekerjaan baharu dalam sektor pakaian dan kasut akan ‘hilang’ menjelang 2030 di empat negara pengeluar utama iaitu Bangladesh, Kemboja, Pakistan dan Vietnam sekiranya mereka gagal melaksanakan pelaburan penyesuaian.
“Kesan ini menjejaskan pendapatan eksport, pekerjaan, dan kesihatan pekerja secara mendalam. Tanpa penyesuaian pantas, kemerosotan pendapatan dan peluang pekerjaan ini akan terus bertambah buruk,” menurut laporan itu.
Ia turut meramalkan kejatuhan pendapatan nominal sebanyak 22 peratus menjelang 2030 di Pakistan, Bangladesh, Kemboja, dan Vietnam.
Menjelang 2050, kerugian ini dijangka meningkat kepada 68 peratus melibatkan kehilangan lapan juta pekerjaan di empat negara berkenaan.
Seiring perubahan iklim yang semakin pantas, tekanan haba yang dialami pekerja pakaian di bandar-bandar Asia Selatan dan Asia Tenggara menjadi lebih teruk, dengan gelombang haba semakin kerap berlaku.
Menurut anggaran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), lebih 2.4 bilion pekerja di seluruh dunia setiap tahun terdedah kepada haba berlebihan, memandangkan peningkatan suhu mengakibatkan kadar penyejatan yang lebih tinggi dan kejadian hujan lebat yang lebih ekstrem berbanding dahulu. – Bernama