AMMAN, 3 NOV – Ribuan pekerja agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin mengadakan mogok di Jordan hari ini, menutup sekolah dan pusat kesihatan yang menyediakan perkhidmatan untuk lebih dua juta orang.
Mogok menuntut kenaikan gaji sedang dilancarkan oleh kira-kira 7,000 pekerja, kata jurucakap UNRWA Sami Mshamsha, dan diadakan tatkala agensi menghadapi krisis kewangan.
Ia telah melumpuhkan kerja-kerja di sekolah UNRWA, klinik dan pusat yang menyediakan kebajikan sosial kepada pelarian di seluruh Jordan, kata Mshamsha.
“Kami mengutuk mogok ini dan kami bimbang mengenai kesannya ke atas perkhidmatan yang diberikan kepada pelarian,” kata beliau.
Kesatuan pekerja UNRWA berkata tindakan yang bermula pagi ini adalah bersifat ‘terbuka’ dan semua anggota kakitangan mengambil bahagian.
Murid-murid dan pelajar harus tinggal dalam rumah kerana sekolah dan universiti yang dikendalikan oleh UNRWA akan ditutup, katanya.
Lebih dua juta penduduk Palestin didaftar sebagai pelarian dengan UNRWA di Jordan.
Agensi itu mengendali 169 sekolah dalam negara, di mana kira-kira 120,000 pelajar didaftar, serta fakulti sains dan seni pendidikan, 25 pusat jagaan kesihatan dan perkhidmatan lain.
UNRWA ditubuhkan pada 1949 selepas lebih daripada 750,000 penduduk Palestin melarikan diri atau diusir ketika perang berhubung penubuhan Israel pada tahun sebelumnya.
Ia membekalkan perkhidmatan perubatan dan sekolah kepada lima juta penduduk Palestin di Jordan, Lubnan, Syria, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang dihuni oleh rakyat Israel, termasuk Baitulmaqdis timur.
Pada 2018, Amerika Syarikat menggantung dan kemudian memutuskan kesemua pembiayaan untuk UNRWA, mengakibat krisis kewangan yang mengancam sekolah dan hospital ditutup. – AFP