LONDON, 21 OGOS – Hari pertama tunjuk perasaan yang dirancang di pelabuhan kontena terbesar Britain bermula awal pagi hari ini bagi menyertai beberapa siri pemberhentian pekerja pengangkutan yang telah mengganggu aktiviti ekonomi di seluruh negara.
Kira-kira 2,000 pekerja di Pelabuhan Felixstowe yang terletak kira-kira 150 kilometer timur laut London, berhenti kerja disebabkan kadar gaji yang rendah sekali gus menimbulkan kebimbangan masalah rantaian bekalan yang teruk.
Pelabuhan tersebut mengendalikan kira-kira empat juta kontena setahun daripada 2,000 kapal iaitu hampir separuh daripada pengangkutan penghantaran masuk ke negara itu.
Setiausaha agung Unite, Sharon Graham, iaitu kesatuan buruh yang menyeru diadakan tunjuk perasaan, mendakwa syarikat yang mengendalikan pelabuhan dan syarikat induknya, C.K Hutchison Holding Ltd, mengutamakan keuntungan pemegang saham berbanding kebajikan pekerja.
Pelabuhan Felixstowe dalam satu kenyataan berkata bahawa kesan daripada tunjuk perasaan itu menjejaskan rantaian bekalan United Kingdom (UK). Ia berkata pekerja ditawarkan kenaikan gaji bernilai lebih lapan peratus secara purata pada tahun ini.
Rakyat Britain menghadapi krisis kos sara hidup paling teruk dalam beberapa dekad sementara kos runcit dan bil utiliti meningkat. Statistik terkini menunjukkan kadar inflasi pada 10.1 peratus iaitu pada paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun. – AP
