Friday, April 18, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pekerja sosial dipenjara 4 tahun terlibat dalam rusuhan

    HONG KONG, 9 APRIL – Seorang pekerja sosial di Hong Kong dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun sembilan bulan, hari ini, atas peranannya dalam gerakan anti-kerajaan pada tahun 2019, dalam satu kes yang mencerminkan pendekatan tegas pihak berkuasa terhadap tindakan berkaitan protes.

    Jackie Chen merupakan antara sekumpulan pekerja sosial yang sering membawa pembesar suara untuk menjadi perantara antara pihak polis dan para penunjuk perasaan semasa ketegangan sosial yang sering bertukar ganas itu.

    Sementara beliau telah dibebaskan dalam perbicaraan pertama pada September 2020, pihak pendakwa raya berjaya merayu keputusan tersebut, dan beliau disabitkan dalam perbicaraan semula.

    Pada Mac, Hakim May Chung menolak dakwaan Chen bahawa beliau bertindak sebagai perantara. Dalam keputusannya, hakim menyatakan Chen telah berulang kali melempar tuduhan tidak berasas terhadap pihak polis semasa satu protes pada Ogos 2019 dan menggunakan peranannya sebagai pekerja sosial dengan mendakwa dirinya ‘mempertahankan keadilan’ untuk menyokong para penunjuk perasaan.

    Semasa menjatuhkan hukuman, Chung mengakui bahawa Chen tidak bertindak ganas di lokasi kejadian, namun menyatakan bahawa hukuman perlu mengambil kira tindakan keseluruhan kumpulan yang terlibat dalam rusuhan tersebut. Beliau menekankan keadaan serius rusuhan itu.

    Hukuman asal ditetapkan lima tahun, namun dikurangkan setelah mengambil kira beberapa faktor seperti tekanan akibat proses perundangan yang panjang serta sumbangan Chen sebagai pekerja sosial.

    Dalam surat rayuan meringankan hukuman yang dikongsikan oleh media tempatan, Chen menyatakan bahawa tahun 2019 merupakan titik perubahan besar dalam hidupnya, di mana ramai pekerja sosial ingin memberikan sokongan emosi semasa protes. – AFP

    Pekerja sosial Jackie Chen dilihat berada di luar Mahkamah Daerah di Hong Kong, pada 11 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda