MANILA, 6 OKT – Syarikat penerbangan Filipina akan mengurangkan satu pertiga tenaga kerjanya pada akhir tahun ini sebagai sebahagian daripada penyusunan semula pentadbiran syarikat berkenaan akibat kesan daripada sekatan perjalanan yang dilaksanakan untuk mengekang penularan koronavirus.
Pandemik berkenaan telah menjejaskan industri penerbangan global, memaksa syarikat penerbangan untuk mencari wang jaminan kerajaan, memberi cuti kepada pekerja dan mengurangkan tenaga kerja.
“Penurunan dalam kadar permintaan perjalanan dan sekatan perjalanan yang berterusan di kebanyakan laluan global dan domestik telah mendorong syarikat untuk mengurangkan pekerjaan,” kata syarikat penerbangan itu kelmarin yang mengumumkan pemberhentian pekerja sehingga 35 peratus daripada lebih dari 7,000 pekerjanya.
“Pengurangan tenaga kerja itu merupakan sebahagian daripada perancangan penstrukturan dan pemulihan yang lebih besar ketika syarikat penerbangan itu berusaha untuk mengembalikan momentum ketika berdepan dengan COVID-19.
Penerbangan komersial dihentikan selama lebih dari dua bulan semasa kerajaan melaksanakan perintah berkurung, yang menyebabkan ekonomi mengalami kemelesetan dan menyebabkan berjuta-juta pekerjaan lenyap.
Syarikat penerbangan Filipina mengatakan ia beroperasi kurang dari 15 peratus daripada jumlah penerbangan hariannya yang normal selepas sekatan selama lapan bulan itu mula dilaksanakan.
PAL Holdings, syarikat induk syarikat penerbangan yang disenaraikan, merosot pada separuh pertama dengan kerugian bersih 20.75 bilion peso (AS$428.6 juta) berbanding 2.98 bilion peso pada tempoh yang sama tahun lalu.
Pengumuman itu dibuat ketika Filipina mengambil langkah tentatif untuk menghidupkan kembali industri pelancongannya dengan mengalu-alukan pelancong domestik mengunjungi pulau Boracay, yang terkenal dengan pantai pasir putihnya.
Protokol yang ketat memerlukan pelancong untuk diuji negatif COVID-19 sebelum mereka menuju ke destinasi percutian yang popular.
Filipina mempunyai jumlah kes koronavirus tertinggi di Asia Tenggara, dengan lebih daripada 324,000 jangkitan yang disahkan, termasuk lebih daripada 5,800 kematian. – AFP