Pekerja taman permainan terima penghargaan daripada JBP

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Tindakan pantas seorang pekerja Jerudong Park berjaya memadamkan kebakaran pada alat penghawa dingin yang berlaku pada 3 Jun lalu mendapat pujian serta penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Sehubungan dengan itu, JBP telah menyerahkan Sijil Masyarakat Berjasa sebagai penghargaan kepada Pengiran Haji Mohd Rahimin bin Pengiran Haji Ibrahim di mana tindakan pantasnya berjaya memadamkan kebakaran alat penyaman udara di dalam sebuah bilik di Perumahan Jerudong Park yang berlaku pada pukul 9:22 pagi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, Pengiran Haji Mohd Rahimin yang pernah mengikuti Kursus Marsyal Bomba di JBP, berjaya memadamkan kebakaran daripada merebak dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering 9 kilogram yang dibekalkan di rumah berkenaan. Pengiran Haji Mohd Rahimin diberikan penghormatan pada majlis ang berlangsung di Balai Bomba Jerudong, hari ini, di mana sijil disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi F, JBP, Pemangku Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Haji Nordin bin Haji Buntan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah timbalan pegawai pemerintah, stesen komander Balai Bomba Jerudong dan Unit Perhubungan Awam Operasi F.

Dalam kenyataan itu juga, JBP menasihatkan supaya orang ramai sentiasa memastikan rumah mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api yang bersesuaian (jenis debu), selimut api atau alat pengesan asap dan menutup suis mana-mana peralatan elektrik selepas menggunakannya atau meninggalkannya dalam masa yang lama.

Kenyataan juga menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang awam hendaklah terus menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Pemangku Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Haji Nordin (dua dari kanan) menyerahkan Sijil Masyarakat Berjasa kepada Pengiran Haji Mohd Rahimin (dua dari kiri). – Gambar oleh JBP