Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI), kelmarin, telah mengadakan Majlis Sembahyang Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Rumah Aman, Ibu Pejabat Polis Gadong, di sini itu ialah isteri Pesuruhjaya Polis, Datin Hajah Kamariah binti Haji Abdul Hamid selaku Yang Di-Pertua PEKERTI.
Turut hadir ialah Pengerusi PEKERTI, Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan ahli-ahli dari kelima-lima cawangan PEKERTI seramai 70 orang.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, Doa Kesyukuran dan bacaan Surah Yasin beramai-ramai diikuti dengan Sembahyang Fardu Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Hajah Hazlina binti Haji Mohammed.