Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Menyantuni anak-anak yatim setentunya antara yang dianjurkan oleh Islam dan dijanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda.
Sehubungan itu, Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) kelmarin mengadakan Majlis Iftar bersama 61 anak-anak yatim Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di Dewan Serambi Batil, Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong selaku pemangku Yang Dipertua PEKERTI.
Turut hadir ialah Pemangku Pengerusi PEKERTI, Dayang Nurakmalia binti Lt Kol (B) Awang Iskandar; Pengerusi Badan Kebajikan Am PEKERTI selaku pengerusi majlis, Dayang Rokiah binti Joly @ Julai; Ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI berserta Ahli Jawatankuasa Kerja Badan Kebajikan Am PEKERTI.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong, APO Staff Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sagu hati berupa hamper kepada anak-anak yatim yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis tersebut bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan persahabatan baik dalam kalangan ahli-ahli PEKERTI dan anak-anak yatim berserta ahli keluarga terutama sekali di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.
PEKERTI akan terus memberikan komitmen yang tinggi dan mempertingkatkan usaha-usaha pada masa akan datang bagi membantu anak-anak yatim PPDB.