Wednesday, November 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelabuhan Greece diancam lambakan ikan mati

    VOLOS, 29 OGOS – Pihak berkuasa di tengah Greece berlumba-lumba menangani lambakan bertan-tan ikan mati di sebuah pelabuhan popular yang dikatakan penduduk tempatan boleh mengancam mata pencarian mereka.

    Ini merupakan bencana alam sekitar kedua yang melanda pelabuhan Volos, yang terletak tiga setengah jam perjalanan ke utara Athens, selepas banjir besar melanda wilayah Thessaly tahun lalu.

    Banjir tersebut telah mengisi semula tasik berhampiran yang telah dikeringkan pada tahun 1962 dalam usaha untuk memerangi malaria, menjadikannya tiga kali ganda saiz asalnya.

    “Selepas ribut Daniel dan Elias pada musim luruh lalu, kira-kira 50,000 ekar dataran di Thessaly ditenggelami air, dan pelbagai ikan air tawar telah dibawa oleh sungai ke laut,” kata Dimitris Klaudatos, seorang profesor pertanian dan alam sekitar di Universiti of Thessaly.

    Sejak itu, air tasik telah surut secara drastik, memaksa ikan air tawar menuju ke pelabuhan Volos yang mengalir ke Teluk Pagasetik dan Laut Aegean, di mana ikan-ikan tersebut tidak dapat hidup.

    Pada Selasa sahaja, pihak berkuasa telah mengeluarkan 57 tan ikan mati yang dihanyutkan di pantai berhampiran Volos, dengan usaha pembersihan diteruskan pada kelmarin.

    Kedatangan pelancong ke kawasan itu telah merosot hampir 80 peratus sejak banjir tahun lalu, menurut persatuan restoran dan bar tempatan.

    “Situasi dengan ikan mati ini akan menjadi penamat hidup kami,” kata Stefanos Stefanou, presiden persatuan itu. “Pelawat mana yang akan datang ke bandar kita selepas ini?” – AFP

    Sebuah jentolak mengumpul ikan mati dari sungai berhampiran bandar pelabuhan Volos, tengah Greece, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda