Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Pelabuhan Romania hab eksport bijirin Ukraine

    CONSTANTA, ROMANIA – Bagaikan belalai gajah gergasi, hos besar tergantung di tempat kargo atas kapal di pelabuhan Constanta di Laut Hitam Romania, menumpahkan bertan-tan jagung ke dalam kapal sebelum ia belayar.

    Sekatan Rusia ke atas pelabuhan laut Ukraine telah memaksa pengeksport negara itu mencari alternatif untuk memindahkan kargo berharga mereka.

    Maka sekarang bijirin negara tersebut dipunggahkan ke kereta api, lori atau tongkang di pelabuhan kecil Danube Reni dan Izmail di barat daya, untuk dibawa ke pelabuhan Romania.

    Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah mengubah Constanta menjadi hab eksport maritim yang penting untuk tanaman Ukraine.

    Sebelum perang, Ukraine mengeksport 4.5 juta tan hasil pertanian setiap bulan melalui pelabuhannya dengan 12 peratus daripada gandum dunia, 15 peratus daripada jagungnya dan 50 peratus daripada minyak bunga mataharinya.

    Sebuah kapal sarat dengan jagung di Pier 80 di pelabuhan Laut Hitam Constanta. Pelabuhan Romania berusaha untuk menjadi hab eksport untuk negara jiran Ukraine selepas pencerobohan Rusia yang memutuskan laluan lautnya. – AFP
    Pekerja memunggah jagung dari trak untuk disimpan dalam silo di Pier 80 di pelabuhan tersebut. – AFP
    Pengendali mengawal mesin pemunggah jagung dari jauh di atas kapal di Pier 80 di pelabuhan Laut Hitam Constanta. – AFP

    Sebuah trak mengangkut jagung dilihat melintasi silo bijirin besar di Pier 80 di pelabuhan Laut Hitam Constanta, Romania. – AFP

    “Kami perlu memastikan bijirin sampai ke meja pengguna tanpa berlengah-lengah untuk mengelakkan risiko kebuluran,” kata ketua eksekutif Comvex, Viorel Panait, yang mengendalikan bahan mentah pukal Constanta.

    “Kami berharap dapat mempercepatkan proses itu kerana, memandangkan situasi malang yang dialami negara jiran Ukraine, kami mesti membantu mereka seberapa yang kami mampu,” katanya kepada AFP.

    ‘Peluang’

    Negara jiran, Bulgaria berkata minggu ini ia bersedia membantu mengeksport bijirin hasil keluaran Ukraine dari pelabuhan Laut Hitam Varna dan sekarang sedang berusaha untuk menaik taraf infrastrukturnya.

    Sementara itu, Constanta sedang menggerakkan kargo secepat mungkin.

    Lady Dimine, kapal yang penuh sarat dengan jagung, adalah kapal bijirin kedua sejak minggu lalu yang berlabuh di Pier 80, menuju ke Portugal sebaik sahaja diisi.

    Kapal pertama, dipenuhi dengan 70,000 tan jagung Ukraine, bertolak dari Constanta pada Jumaat lalu, dan kapal ketiga dijadualkan memulakan perjalanan dalam enam hari.

    Kapal pertama berkenaan, yang membawa muatan 70,000 tan memerlukan sebanyak 49 kereta api atau tongkang untuk diisi, kata Panait.

    Memunggah bijirin dalam kapal sebegitu di pelabuhan yang tidak dilengkapi dengan sempurna bermakna beribu-ribu trak akan menyesakkan jalan raya, tambahnya.

    Malah sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, Constanta telah memintas Le Havre di Perancis tahun lalu untuk menjadi hab Eropah untuk eksport bijirin, kata pengarah pelabuhan itu, Florin Goidea.

    “Matlamat kami adalah untuk menghantar barangan secepat mungkin dan dengan itu ia akan menyokong ekonomi negara Ukraine,” katanya.

    Pejabatnya menawarkan pengalaman kerja yang menakjubkan di tepi dok, dipenuhi kren dan pemunggah kapal.

    “Perang di Ukraine merupakan satu cabaran tetapi juga mencipta peluang,” kata Goidea.

    Projek dalam perancangan

    Untuk menghadapi cabaran berkenaan, kerajaan Romania telah melancarkan dua projek untuk membuka sekatan lalu lintas jalan raya dan memudahkan aliran kargo ke pelabuhan.

    Pertama, ia merancang menjelang akhir tahun ini untuk membaiki sebanyak 95 landasan kereta api sejak era komunis, yang telah disekat ratusan gerabak berkarat bertahun-tahun lamanya.

    Projek yang bernilai 40 juta euro sepatutnya membolehkan Constanta menyamai bahkan mengatasi rekod 67.5 juta tan barangan dalam transit yang direkodkan pada tahun 2021, kata Goidea.

    Kementerian pengangkutan juga sedang mendapatkan tawaran kerja untuk membuka semula landasan kereta api sepanjang lima kilometer, lebih 200 kilometer ke utara Constanta.

    Landasan tersebut akan menghubungkan Giurgiulesti di Moldova, tempat yang diapit di antara Romania dan Ukraine, ke Galati di Danube, di timur Romania.

    Linrasan yang singkat itu adalah amat penting, kerana mereka berkongsi tolok landasan kereta api sama yang telah digunakan di negara bekas Kesatuan Soviet, menjadikannya lebih mudah untuk aktiviti mengangkut barang-barangan.

    Pengubahsuaian landasan telah dirancang pada musim panas ini.

    Sementara itu, di Constanta pula, lalu lintas yang menuju ke tempat lain telah terhenti.

    Puluhan alat turbin angin yang sepatutnya dalam perjalanan ke Ukraine terbiar di sepanjang jalan yang sesak.

    “Tiada sesiapa lagi yang tinggal untuk menghantar alat tersebut,” kata seorang pekerja pelabuhan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...