Pelabur asing yakin pelaburan di China

BEIJING, 18 JUN – Peningkatan bilangan syarikat asing yang baharu ditubuhkan di China membuktikan pengiktirafan dan kepercayaan pelabur asing terhadap persekitaran perniagaan dan pelaburan jangka panjang di negara ini.

Jurucakap Kementerian Perdagangan, Gao Feng dalam satu sidang akhbar pada Khamis memaklumkan, penggunaan modal asing dalam kontrak yang terlaksana di China meningkat 35.4 peratus kepada RMB481 bilion (RM308.85 bilion) dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, jumlah syarikat asing baharu ditubuhkan di negara ini meningkat 48.6 peratus dengan angka dicatatkan adalah sebanyak 18,497 buah dalam tempoh tersebut.

Dalam perkembangan lain, Tinjauan Keyakinan Perniagaan (BCS) Perniagaan Eropah di China 2021 yang dikeluarkan Dewan Perniagaan Kesatuan Eropah  di China (EUCCC) baru-baru ini menunjukkan, 73 peratus responden mencapai keuntungan pada tahun lepas, dan 68 peratus syarikat bersikap optimistik terhadap prospek perniagaan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menurut data itu lagi, 60 peratus syarikat turut merancang memperluaskan skala perniagaan di China tahun ini, manakala satu per empat daripada jumlah responden menyatakan mereka sedang atau merancang meningkatkan pembangunan rangkaian bekalan di China.

Gao Feng menyatakan, pihaknya terus komited memperkasa pembinaan platform keterbukaan berkualiti tinggi, meluaskan akses kepada pelaburan asing, meningkatkan jaminan perkhidmatan terhadap syarikat dan projek asing utama, selain mengoptimumkan persekitaran perniagaan agar lebih ramai pelabur asing berkongsi hasil pembangunan China. – Bernama