KUALA LUMPUR, 30 SEPT – Pelabur global dijangka menuju ke Asia berikutan prospek ekonomi di seluruh dunia diramal tidak menentu dengan pertumbuhan yang terjejas pada 2022 dan 2023, demikian menurut ahli ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Shan Saeed menzahirkan keyakinan bahawa ekonomi global akan kembali kepada era stagflasi atau kemelesetan-inflasi pada 1970-an dengan kadar inflasi yang tinggi, pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kadar pengangguran yang masih meningkat.
“Disebabkan pandemik COVID-19, kira-kira 100 hingga 300 juta orang telah terjerumus ke kancah kemiskinan, manakala 20 hingga 30 juta individu hilang pekerjaan di seluruh dunia.
“Oleh itu, kita berada dalam keadaan ekonomi yang rapuh dan ketara pada 2022 dan 2023. Pemulihan ekonomi global dijangka mencatatkan pertumbuhan terjejas dengan kewangan yang tidak kukuh dan bazuka terhadap pasaran kewangan,” katanya kepada Bernama.
Beliau menegaskan dalam tempoh stagflasi, para pelabur kebiasaannya menumpukan kepada hartanah dan komoditi.
“Malaysia akan cenderung mendapat manfaat susulan harga minyak dan komoditi yang lebih tinggi, dijangka pada tahun depan.
“Juwai IQI menjangka keluaran dalam negara kasar akan berkembang antara empat dan lima peratus pada tahun depan,” katanya. – Bernama