Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelaburan antara China, ASEAN cecah AS$450 bilion

    BEIJING, 9 SEPT – Jumlah perdagangan antara China dan ASEAN bagi tujuh bulan pertama tahun ini meningkat 8.2 peratus tahun ke tahun, mencecah AS$597 bilion (RM2.5 trilion), iaitu merangkumi 16.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan luar China dalam tempoh yang sama.

    Setakat Julai lalu, jumlah kumulatif pelaburan antara kedua-dua pihak melebihi AS$450 bilion (RM1.9 trilion), manakala kontraktor China menyiapkan projek pembinaan bernilai AS$480 bilion (RM2.02 trilion) di negara-negara ASEAN.

    Dalam sidang media pejabat penerangan Dewan Negara kelmarin, Naib Menteri Perdagangan China, Yan Dong berkata China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN untuk 16 tahun berturut-turut, manakala ASEAN hadir sebagai rakan dagang terbesar bagi China selama lima tahun berturut-turut.

    Pada 2024, jumlah perdagangan antara China dengan lima negara ASEAN iaitu Malaysia, Vietnam, Indonesia, Thailand dan Singapura masing-masing melepasi paras AS$100 bilion (RM421 bilion). Daripada jumlah itu, perdagangan dengan Malaysia dan Vietnam melebihi AS$200 bilion (RM842 bilion).

    “Rundingan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 telah dimuktamadkan dan buat kali pertama membentuk kerangka Kerjasama sistematik yang merangkumi infrastruktur digital dan peraturan serta piawaian,” kata Yan.

    Sementara itu, Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 akan berlangsung di Nanning, wilayah Guangxi bermula 17 hingga 21 September, dengan penyertaan kira-kira 3,200 syarikat pempamer dari 45 buah negara.

    CAEXPO 2025 akan dilengkapi pavilion khas untuk sektor kecerdasan buatan dan kuasa produktif kualiti baharu serta zon pameran ekonomi biru dan produk premium untuk eksport, yang dijangka mencerminkan hasil terkini kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN. – Bernama

    Gambar menunjukkan kontena di Pelabuhan Nanjing di wilayah Jiangsu di timur China. Jumlah perdagangan antara China dan ASEAN mencecah AS$597 bilion bagi tujuh bulan pertama tahun ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda