Tuesday, February 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelaburan baharu bantu majukan bandar Baghdad

    BAGHDAD – Pada petang musim panas, rakyat Iraq menghisap shisha dan bermain boling di kompleks tepi sungai yang luas di Baghdad, salah satu pelaburan baharu yang menghidupkan semula ibu kota itu selepas beberapa dekad kacau-bilau.

    “Iraq adalah tanah yang subur untuk pelaburan,” kata Falah Hassan, pengarah eksekutif kompleks restoran dan kedai yang dibina atas tapak salah satu bekas istana Saddam Hussein dan dinamakan sempena hikayat Seribu Satu Malam yang terkenal.

    Di Iraq yang kaya dengan minyak, kestabilan yang rapuh sejak kekalahan kumpulan Islamic State pada 2017 telah membuka jalan kepada peningkatan pembinaan di sebuah bandar yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjadi tajuk utama bagi peperangan dan keganasan berdarah.

    Sejak mengambil alih jawatan pada Oktober, Perdana Menteri Iraq, Mohamed Shia al-Sudani telah berusaha untuk memulihkan infrastruktur Baghdad, yang sebahagian besar daripadanya telah dibiarkan rosak oleh konflik dan pengabaian.

    Tetapi laporan Bank Dunia pada Julai menyatakan bahawa pelabur masih ragu-ragu untuk melaburkan wang mereka di Iraq, dengan merujuk kepada kekurangan perundangan mesra perniagaan, persekitaran keselamatan yang tidak menentu, ketidakcekapan pentadbiran dan rasuah sistemik.

    Bot berlabuh di tepi jeti milik pusat peranginan hiburan ‘Taman 1,001 malam’. – Gambar AFP
    Walaupun terdapat perkembangan baharu seperti ‘Taman 1,001 malam’, pelabur masih menghadapi pelbagai halangan di Iraq. – Gambar AFP
    Penduduk awam berjalan melintasi tapak pembinaan. – Gambar AFP
    Gambar AFP

    Hassan mengakui bahawa pelabur masih menghadapi pelbagai rintangan, termasuk keadaan keselamatan dan birokrasi.

    “Awda perlu melalui 1,000 kaunter untuk mendapatkan satu permit,” katanya sambil menyatakan kompleks baharu ‘Taman 1,001 Malam’ yang terletak di sungai Tigris Baghdad dibuka pada akhir 2022 oleh para pelabur muda.

    Ini adalah realiti yang pihak berkuasa katakan bahawa mereka komited untuk mengubahnya bagi menarik pelabur, terutamanya dari negara-negara Teluk.

    Pada penghujung Ogos, Sudani menghadiri majlis pecah tanah bagi sebuah hotel mewah dan kompleks kediaman yang merupakan pelaburan utama Qatar yang pertama di Baghdad.

    “Daripada perdana menteri hingga pegawai yang paling rendah, kami akan bersama-sama pelabur dan sektor swasta bagi melaksanakan projek di Baghdad dan wilayah-wilayah,” kata pemimpin Iraq itu.

    Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, Sudani berkata ‘keutamaan kami adalah memerangi wabak rasuah’.

    Tetapi pakar-pakar mengatakan wang haram terlibat dalam banyak pembangunan baharu yang dilihat di Baghdad.

    “Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, elit politik Iraq dan rakan perniagaan mereka lebih suka melaburkan kekayaan mereka dalam projek tempatan sebagai tempat perlindungan yang selamat untuk keuntungan yang diperoleh secara haram,” tulis Hayder al-Shakeri dalam artikel untuk Institut Kajian Serantau dan Antarabangsa di Universiti Amerika Iraq, Sulaimani.

    “Sebahagiannya untuk menyembunyikan asal usul dana yang diperoleh secara haram, golongan elit politik didakwa telah melabur dalam kawasan kediaman mewah, pusat membeli-belah, universiti swasta dan perniagaan hartanah lain, mengakibatkan ledakan yang ketara dalam pembangunan Baghdad,” tambahnya.

    Dalam masa kurang daripada setahun, Sudani telah menjalankan kerja untuk menyediakan perkhidmatan air dan elektrik yang lebih baik ke kawasan-kawasan kejiranan tidak formal di Baghdad, membina jambatan-jambatan dan mereka bentuk semula jalan-jalan di salah satu bandar paling ramai penduduk di dunia Arab.

    Dalam bajet 2023-2025 yang diluluskan tahun ini, perbelanjaan pelaburan tahunan dijangka mencecah AS$37 bilion – tiga kali ganda jumlah pada 2022, lapor Bank Dunia.

    Peruntukan yang besar itu mungkin dilakukan disebabkan kekayaan minyak Iraq dan rizab asingnya yang besar, yang berjumlah lebih daripada AS$100 bilion.

    Di kejiranan Kufah di pinggir Baghdad, jentolak menggali jalan untuk memasang paip, manakala trak pembuangan membuang bongkahan batu.

    Unit khas sedang berusaha untuk memulihkan banyak kawasan kejiranan tidak rasmi di Baghdad yang ‘terputus perkhidmatan selama lebih 20 tahun’, kata Abdel Razzak Abd Mhessein, ketua jurutera projek itu.

    Unit itu terdiri daripada individu-individu dari pelbagai kementerian, perusahaan milik negara serta jurutera dari rangkaian tentera dan separa tentera, Pasukan Mobilisasi Popular.

    “Kami mempunyai bajet sekitar 20 0 bilion dinar (AS$150 juta) untuk kerja-kerja infrastruktur untuk sistem air, pembetung dan banyak lagi,” kata jurutera itu kepada AFP.

    “Terdapat lebih daripada 1,093 kawasan tidak formal di Baghdad – satu rancangan telah disediakan bagi melaksanakan kerja secara beransur-ansur di sana,” tambahnya.

    Reaksi orang ramai terhadap kerja itu setakat ini bercampur-baur.

    “Inilah yang kami impikan. Jalan beraspal dan perkhidmatan,” kata Abu Ali al-Bahadli, seorang pekerja harian berusia 55 tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda