BEIJING, 4 OKT – Setakat penghujung 2023, pelaburan langsung lebih AS$330 bilion direkodkan dalam pengoperasian 17,000 syarikat China di negara yang terlibat dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Menurut perangkaan daripada Kementerian Perdagangan China, pelaburan langsung perusahaan China terhadap negara yang terkait dengan BRI pada 2023 meningkat 31.5 peratus dengan mencatat AS$40.71 bilion.
Modal itu terutamanya ditanam dalam bidang industri pembuatan, pembinaan, perdagangan borong serta runcit, dan bekalan elektrik.
Serentak itu, setakat penghujung 2023, perusahaan China mencipta 530,000 peluang pekerjaan untuk penduduk dari negara yang terkait dengan BRI melalui pembinaan sejumlah zon kerjasama ekonomi dan perdagangan yang kesemuanya menelan peruntukan kewangan kira-kira AS$73 bilion.
Pada 2023 juga, perusahaan China menandatangani kontrak kejuruteraan yang bernilai AS$227.16 bilion dengan negara kerjasama BRI dan menjana pendapatan sebanyak AS$132.05 bilion dalam pengoperasian tempatan, dengan 70 peratus projek kendaliannya merupakan yang berkaitan dengan infrastruktur, termasuk sebilangan projek mega kejuruteraan ikonik dan projek kecil yang berkaitan rapat dengan hidup rakyat.
Pelaburan perusahaan China di luar pesisir dilaporkan sangat kondusif bagi menggalakkan pembangunan sosioekonomi tempatan dan peningkatan taraf hidup rakyat. – Bernama